Dua beradik, tiga rakan terlepas hukuman gantung

Lima rakan terlepas hukuman gantung selepas pertuduhan membunuh dipinda kepada membunuh tanpa niat di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Jumaat.
Lima rakan terlepas hukuman gantung selepas pertuduhan membunuh dipinda kepada membunuh tanpa niat di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Dua beradik bersama tiga rakan terlepas hukuman gantung selepas dakwaan membunuh seorang lelaki lima tahun lalu dipinda kepada membunuh tanpa niat di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Jumaat.

Pesuruhjaya Kehakiman, Su Tiang Joo membenarkan meminda pertuduhan tertuduh, C Sathis, 29; adiknya, Kartik Krishnan, 24 bersama tiga lagi lelaki, J Jaya Ganesh, 25; A Arjun, 26, dan V Sivabalan, 24; daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304 (a) kanun sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas kelima-lima tertuduh dari tarikh tangkapan iaitu pada 18 Mei 2018.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mencapai niat bersama membunuh Chung Thian Keong, 54, di tepi sungai berhampiran Kampung Baru Chenderong, Jalan Tanjung Tualang dalam daerah Batu Gajah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam lebih kurang 7 malam 17 Mei 2018 hingga 7 pagi 18 Mei 2018.

Peguam Charan Singh yang mewakili kelima-lima tertuduh sebelum itu memohon hukuman ringan memandangkan keterangan yang dikemukakan saksi-saksi pendakwaan tidak menunjukkan sebarang senjata digunakan semasa kejadian itu.

"Tiada sebarang senjata digunakan oleh mana-mana tertuduh dalam kes ini dan si mati tidak mendapat kecederaan di bahagian badan lain kecuali di kepala," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Saifulakmal Mod Said mencadangkan satu hukuman sewajarnya dikenakan sebagai pengajaran selain mengambil kira faktor kepentingan awam dan kecederaan yang dialami si mati akibat perbuatan tertuduh.