Reformasi undang-undang kelayakan ahli Parlimen: Hassan

Hassan (tengah) menyampaikan sumbangan mesin perniagaan kepada ibu tunggal di Taman Scientex, Pasir Gudang pada Jumaat.
Hassan (tengah) menyampaikan sumbangan mesin perniagaan kepada ibu tunggal di Taman Scientex, Pasir Gudang pada Jumaat.
A
A
A

PASIR GUDANG - Satu reformasi undang-undang perlu dilakukan berkenaan kelayakan ahli Parlimen yang sudah disabitkan bersalah dalam kes mahkamah, sama ada boleh terus menjadi wakil rakyat atau sebaliknya.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, peruntukan undang-undang sedia ada mengelirukan contohnya Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun pada Khamis memutuskan Datuk Seri Najib Tun Razak masih lagi sebagai Ahli Parlimen Pekan.

Jelas beliau, Azhar merujuk kepada Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan bahawa status Najib akan kekal sehingga proses permohonan pengampunan diraja serta semakan kehakiman difailkannya selesai.

Hassan yang juga seorang peguam berkata, jika merujuk kepada Perkara 48(1)(e) pula amat jelas bahawa Najib telah hilang kelayakan menjadi ahli Parlimen berdasarkan empat syarat yang ditetapkan.

"Azhar merujuk kepada Perkara 48(4)(c) itu yang menyatakan jika petisyen pengampunan difailkan dalam masa 14 hari dari tarikh rayuan diputuskan, kehilangan kelayakan ahli Parlimen hanya akan berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen pengampunan diselesaikan.

"Sementara Perkara 48(1)(e) pula menyatakan apabila sudah didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan, dihukum penjara tidak kurang satu tahun, didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas, maka jelas Najib telah hilang kelayakan menjadi ahli Parlimen.

"Jadi reformasi ini perlu dilakukan kerana dilihat bertentangan," katanya kepada pemberita selepas prorgam penyerahan sumbangan mesin perniagaan kepada ibu-ibu tunggal di Taman Scientex di sini pada Jumaat.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib atas kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Hassan yang juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Kebebasan Asasi dan Hak-Hak di Bawah Perlembagaan berkata, apa yang berlaku ketika ini amat melucukan dan boleh mencemar imej negara.

Katanya, pertentangan antara Perkara 48(4)(c) dan Perkara 48(1)(e) perlu diatasi dengan sistem kehakiman perlu ada satu keputusan yang muktamad dan jelas.

"Sekiranya Najib masih Ahli Parlimen Pekan, beliau tidak boleh dihalang datang ke Parlimen. Kalau datang ke Parlimen apa pakaian perlu dipakai, perlu memakai baju penjara dengan tangan bergari atau tidak," soalnya.