Pendirian Pas: Bincang dalam mesyuarat MKT UMNO

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

KUALA NERANG - Beberapa pendirian Pas yang dimuktamadkan dalam muktamar tahunan parti itu akan diperincikan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi menilai hala tuju kedua-dua parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, hanya beberapa aspek yang mempunyai kaitan antara kerjasama Pas-UMNO akan dijadikan agenda perbincangan.

Menurutnya, kesemua perkara berkaitan yang memerlukan keputusan di peringkat MKT akan dilakukan dalam mesyuarat berkenaan dalam masa terdekat.

“Apa juga yang berkaitan, keputusan dibuat oleh MKT. Sebelum majlis tertinggi ada biro politik, bermakna biro politik dan majlis tertinggi akan buat sebarang keputusan yang berkaitan.

“Semua yang perlukan keputusan parti, kita buat melalui proses struktur dalam parti,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan tapak dan taklimat cadangan projek ternakan ayam di Kampung Kubang Palas di sini pada Jumaat.

Pada Muktamar Pas yang berakhir pada Ahad, Pas memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum Mac 2023 bagi tiga negeri yang ditadbirny, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah sekiranya Parlimen dibubarkan pada tahun ini.

Pas juga menetapkan untuk mengadakan rundingan bersama UMNO berhubung 27 kerusi Parlimen yang disifatkan kritikal dan boleh memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) sekiranya kedua-dua parti itu bertembung.

Isu lain termasuk percanggahan kenyataan antara beberapa pemimpin Pas dan UMNO berhubung rundingan yang dibuat antara kedua-dua parti itu bagi menghadapi PRU15.

Artikel Berkaitan:

Tegas Mahdzir, apa jua perkara yang melibatkan dasar parti akan dibawa berbincang dalam mesyuarat MKT terlebih dahulu sebelum diumumkan.

“Mesyuarat MKT akan diadakan dalam masa terdekat cuma tarikhnya belum pasti lagi,” katanya.

Mengulas sama ada lima kepimpinan tertinggi parti itu sudah mengadakan perbincangan berhubung tarikh pilihan raya, Mahdzir berkata, perkara tersebut juga belum dijadikan agenda mesyuarat MKT setakat ini.

“Ya lah, (semua itu) ada bincang sikit-sikit secara tak rasmi. Kena buat rasmi (dalam mesyuarat),” katanya.