Pas Melaka sedia terima ADUN dari parti lain

Asri Shaik - Foto Facebook
Asri Shaik - Foto Facebook
A
A
A

MELAKA - Pas Melaka mengalu-alukan dan terbuka menerima siapa sahaja yang mahu menyertai partinya termasuk desas-desus mengenai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini mahu bersama mereka.

Setiausaha Pas Melaka, Asri Shaik Abdul Aziz berkata, parti itu mengikuti dengan dekat perkembangan berita berhubung kemungkinan penyertaan ADUN tersebut ke dalam Pas.

"Kita tidak melihat sebarang halangan untuk menerima sesiapa sahaja daripada ADUN negeri ini yang berhasrat untuk bersama Pas Melaka," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Apa yang penting katanya, Pas boleh menerima sesiapa sahaja ke dalam parti itu terutama yang menjadikan Islam sebagai cara hidup yang lengkap dan penyelesaian kepada masalah negara.

Dalam masa sama katanya, Pas turut menjunjung politik bebas rasuah, bebas salah guna kuasa dan urus tadbir yang jujur dan berintegriti.

Baru-baru ini media melaporkan desas-desus seorang ADUN Barisan Nasional (BN) akan menyertai Pas.

Sinar Harian turut melaporkan bahawa ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis tidak menafikan dan mengiyakan dakwaan dirinya disebut sebagai ADUN BN yang bakal menyertai Pas.

Muhammad Jailani bagaimanapun hanya memberitahu bahawa 'hanya hantu takut pada bayang-bayangnya sendiri' ketika memberi reaksi berhubung perkara itu, namun berteka-teki ketika diminta menjelaskan maksud di sebaliknya.