Jumlah mangsa banjir meningkat

Anggota sukarelawan APM meninjau keadaan banjir di Lorong Pisang, Kampung Asahan yang masih belum surut. - Foto ihsan APM
Anggota sukarelawan APM meninjau keadaan banjir di Lorong Pisang, Kampung Asahan yang masih belum surut. - Foto ihsan APM
A
A
A

KUALA SELANGOR - Musibah banjir yang melanda lapan kawasan rendah di Kampung Asahan, di sini masih dilaporkan belum surut selepas limpahan air sungai berlaku sejak Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor menjelaskan, jumlah mangsa banjir juga dilaporkan bertambah.

"Dianggarkan lebih 50 rumah penduduk terjejas di lapan kawasan tanah rendah di kampung itu dan jumlah mangsa yang didaftarkan ke pusat pemindahan banjir meningkat.

"Seramai 167 mangsa banjir melibatkan 52 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir berbanding sebelum ini 84 orang melibatkan 21 keluarga," katanya.

Menurutnya, seramai 167 mangsa banjir termasuk 33 lelaki dewasa, 46 perempuan dewasa, 56 kanak-kanak lelaki perempuan, dua bayi, dua OKU dan 28 warga emas.

"Seramai lima anggota sukarelawan APM, dua anggota polis, empat anggota Rela dan tiga petugas JKM Daerah Kuala Selangor ditempatkan di pusat pemindahan banjir berkenaan.

"Setakat laporan hari ini, paras air masih statik dan mangsa banjir masih belum dibenarkan pulang manakala tinjauan ke lokasi banjir dilaksanakan berkala," katanya.

Tinjauan pasukan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Selangor dibuat secara berkala bagi memastikan kawasan penempatan penduduk selamat.

Artikel Berkaitan:

[ARTIKEL BERKAITAN: 74 penduduk terpaksa pindah]

[ARTIKEL BERKAITAN: Kampung Asahan masih banjir]