Tiga rakan didakwa tipu ahli perniagaan RM192,000

Tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Khamis.
Tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU- Tiga rakan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung permit kerja warga asing membabitkan jumlah RM192,000, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Tan Teck Loke, 41, Shah Effendy Wahyu, 40 dan S Sellathurai, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa bersama menipu ahli perniagaan Lim Zhen Peng, 31, dengan memperdayakannya untuk percaya bahawa mereka boleh menguruskan permit kerja warga asing dengan mengemukakan 32 Visa dan Visa Dengan Rujukan (VDR) daripada Jabatan Imigresen yang kononnya telah diuruskan, sedangkan urusan itu tidak wujud.

Perbuatan tertuduh itu mendorong mangsa membayar RM192,000 secara berperingkat melalui bank milik tertuduh pertama, Teck Loke antara 7 hingga 27 Ogos 2019 di di Jalan Nakhoda 16, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.

Bagi perbuatan itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh Teck Loke diwakili peguam Goh Sze Han, Shah Effendy Wahyu diwakili peguam Mohamad Azrulsani Othman dan S Sellathurai diwakili peguam S Selvam.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan RM30,000 kepada setiap tertuduh, namun peguam yang mewakili ketiga-tiga tertuduh meminta jaminan dikurangkan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Oktober untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.

Artikel Berkaitan: