Pesara, guru paling ramai jadi mangsa 'scammer'

Ramli (tiga dari kiri) pada sidang akhbar di IPD Kuala Selangor di sini pada Rabu.
Ramli (tiga dari kiri) pada sidang akhbar di IPD Kuala Selangor di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jumlah kes penipuan dalam talian di daerah Kuala Selangor mencatatkan kerugian sebanyak RM2.04 juta sehingga 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, daripada jumlah itu sebanyak 72 kes dicatatkan dengan 42 kes daripadanya membabitkan golongan wanita.

Menurut beliau, sindiket penipuan itu menjalankan pelbagai modus operandi untuk menjerat mangsa hingga mereka mengalami kerugian beribu ringgit.

"Terdapat beberapa kategori mangsa menjadi mangsa penipuan terdiri dalam kalangan ahli perniagaan, pesara, guru, kakitangan kerajaan, kerani swasta dan pelajar serta mereka yang tiada pekerjaan tetap," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di sini pada Rabu.

Ramli berkata, golongan sasar tertinggi menjadi mangsa penipuan membabitkan golongan pesara dengan kerugian bernilai RM128,500 dan guru sebanyak RM40,700.

Katanya, daripada jumlah kerugian individu pula kes tertinggi dicatatkan di Jeram apabila seorang bapa menjadi mangsa penipuan dalam talian pada kejadian dua minggu lalu.

Jelasnya, mangsa seorang lelaki berusia 65 tahun menjadi mangsa penipuan apabila terpedaya kononnya anaknya ditahan polis yang memerlukan jaminan sebanyak RM10,000.

"Mangsa yang tidak bekerja terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai anggota polis dan meminta warga emas terbabit memasukkan wang ke dalam mesin deposit tunai (CDM).

Artikel Berkaitan:

"Bapa mangsa yang terpedaya dengan helah sindiket terbabit telah pergi ke bank dan memasukkan jumlah diminta sebelum terjerat dengan penipuan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Kata beliau, polis memandang serius jenayah komersial seperti penipuan internet kerana mencatatkan kerugian tinggi.

Beliau memberitahu, sebanyak RM6.4 juta kerugian dicatatkan sepanjang 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu.

Katanya, faktor penyumbang kepada kes jenayah komersial itu antaranya tiada kesedaran kes jenayah komersial dan tidak mengambil tahu isu semasa dan berasa takut setiap kali diugut.

"Selain itu, kita mendapati mangsa juga mudah memberikan maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali," katanya.