Lapor polis segera, bukan buka aib: Idris

Idris
Idris
A
A
A

BANGI - Perbuatan mendedahkan sikap buruk dan aib bapa kandung oleh seorang pelakon remaja dalam sebuah program di YouTube baru-baru ini seharusnya tidak berlaku, malah ditegah dalam Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, perbuatan buruk itu sewajarnya dilaporkan kepada polis segera bagi memberi pengadilan kepada mangsa.

"Sepatutnya dalam Islam, dia lebih pentingkan kepada menutup aib sendiri. Gangguan seperti itu tak perlu didedahkan kepada orang ramai.

"Dia (pelakon) sepatutnya lapor kepada pihak polis. Polis yang bertanggungjawab akan menyiasat kes itu," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia 2022 pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pelakon remaja berkenaan yang mendedahkan aib bapanya ketika ditemubual dalam program yang disiarkan di laman YouTube baru-baru ini.

Pelakon remaja itu mendakwa bapanya melakukan gangguan seksual selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk.

Sebelum ini media melaporkan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menegaskan pihaknya bersedia memanggil pelakon terbabit jika terdapat sebarang laporan dibuat.

Rina berkata, pihaknya akan memanggil pelakon itu dan bapanya untuk disiasat sekali gus tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 jika terbukti pelaku bersalah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu ketika ditanya mengenai tindakan seorang wanita yang mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki, Idris berkata, wanita berkenaan sudah pun pulang ke tanah air.

"Kita belum dapat temui dia, cuma dapat tahu dia sudah balik (ke Malaysia). Kalau tahu (lokasinya) di mana, kita akan arahkan segera pihak berkuasa negeri (panggil dan siasat)," ujarnya.

Baru-baru ini, tular di lama sosial Twitter beberapa video seorang wanita berpakaian ihram ketika berada di Makkah bagi mengerjakan umrah.

Wanita berperwatakan lelaki itu difahamkan ke Tanah Suci menggunakan visa pelancong dan bukan menerusi perkhidmat agensi umrah.