Kerjasama Malaysia, UK kekal kukuh

Charles Hay
Charles Hay
A
A
A

SHAH ALAM - Pertukaran kepimpinan Perdana Menteri United Kingdom (UK) baharu tidak akan memberi sebarang implikasi terhadap hubungan antara negara tersebut dan Malaysia.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay memberi jaminan bahawa ikatan antara Malaysia dan negaranya akan kekal erat dan kukuh di sebalik perkembangan politik domestik yang berlaku di UK.

“Satu perkara yang saya boleh jamin adalah hubungan antara Malaysia dan UK akan terus kukuh.

“Untuk beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan British mempunyai dasar luar yang sangat konsisten terhadap Malaysia dan rantau Asia Pasifik secara umumnya dan ianya adalah untuk mengeratkan dan mengukuhkan hubungan kita,” katanya kepada Sinar Harian semasa melakukan kunjungan hormat ke Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Isnin.

Pada Isnin, Menteri Luar Britain, Liz Truss diumumkan sebagai Perdana Menteri UK yang baharu bagi menggantikan Boris Johnson.

Dalam pada itu, Hay berkata, hubungan dua hala antara Malaysia dan UK ketika ini bukan sahaja meliputi kerjasama perdagangan yang nilai tahunannya berjumlah 5 bilion pound, malah turut membabitkan hubungan ketenteraan menerusi Perjanjian Pertahanan Lima Negara yang juga melibatkan Australia, New Zealand dan Singapura.

Pada masa sama, beliau berkata, dalam berhadapan dengan krisis global yang antara lain berpunca daripada perang Russia-Ukraine, hubungan kerjasama melalui perdagangan bebas dan terbuka antara negara amat penting bagi membantu setiap negara mengharungi tempoh sukar tersebut.

Justeru, beliau berkata, penyertaan Malaysia dan UK ke dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) merupakan perkembangan penting memastikan kemapanan ekonomi kedua-dua buah negara.

Artikel Berkaitan:

“Dan saya harus katakan di sini bahawa keahlian Malaysia dalam CPTPP akan menjadi sangat penting kepada UK kerana kita adalah satu-satunya dua negara dalam kumpulan itu yang tidak mempunyai sebarang aturan perdagangan bebas.

“Jadi ia akan menjadi sangat menguntungkan bagi kedua-kedua negara kita kita sama-sama menyertainya,” ujar beliau.

Malaysia dan UK dijangka bakal menyertai perjanjian tersebut menjelang akhir tahun ini.

CPTPP yang ditandatangani pada Mac 2018 merupakan perjanjian perdagangan bebas yang dianggotai oleh Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Secara kumulatif, negara-negara berkenaan mempunyai gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai AS$13.5 trilion dan penduduk melebihi 500 juta orang.

Sinar Harian terima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia

Pada Isnin, Sinar Harian menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay di Kompleks Kumpulan Karangkraf di Shah Alam, Selangor.

Hay (kiri) ketika menyampaikan cenderamata kepada Hussamuddin, ketika mengunjungi Kumpulan Media Karangkraf.
Hay (kiri) ketika menyampaikan cenderamata kepada Hussamuddin, ketika mengunjungi Kumpulan Media Karangkraf.

Dalam lawatan itu, Hay turut mengadakan pertemuan lebih satu jam bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin.

Hadir sama, Pengarang Berita Sinar Harian iaitu Zamri Rambli; Pengarang Sinar Daily, Tasnim Lokman dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin.

Hay berkata, lawatan itu membolehkan beliau memahami dengan lebih mendalam tentang landskap media di Malaysia.

“Saya gembira untuk berada di sini bersama Sinar Harian dan Sinar Daily kerana ia merupakan antara saluran media utama di Malaysia.

Sebagai Pesuruhjaya Tinggi, adalah sangat penting untuk saya mengetahui landskap media dan memahami apa yang menjadi perbincangan orang ramai di Malaysia,” katanya.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Kaunselor Hal Ehwal Politik Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, Tom Shepherd; Ketua Komunikasinya, Raymond Chua dan Penasihat Politik, Dr Lyana Khairuddin.

Hay (lima dari kanan) bersama Hussamuddin (empat dari kiri) dan Farah ketika mengunjungi Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin.
Hay (lima dari kanan) bersama Hussamuddin (empat dari kiri) dan Farah ketika mengunjungi Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin.

Laksa Sarawak makanan kegemaran

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi British Ke Malaysia itu turut berkongsi makanan tempatan yang menjadi kegemarannya iaitu laksa Sarawak.

Hay yang memulakan tugasnya di Malaysia pada Mac 2019 berkata, beliau buat pertama kalinya merasai hidangan tradisi negeri Sarawak itu di Kuching yang terkenal sebagai tempat terbaik menyediakan masakan tersebut di negeri berkenaan.

“Ia (laksa Sarawak) enak dan saya cukup bernasib baik pergi semula ke tempat ini sejak daripada itu untuk menikmatinya buat kali kedua

“Namun secara jujur saya boleh katakan hampir semua masakan Malaysia adalah agak istimewa,” ketika pada Isnin.

Hay berkata, masakan Malaysia juga semakin mendapat tempat di negaranya apabila semakin banyak restoran Malaysia didapati dibuka di UK.

Dalam pada itu, Hay berkata, beliau agak kecewa kerana tempoh dua tahun setengah sepanjang beliau di Malaysia sebahagian besarnya terpaksa dihabiskan di kediamannya kerana pandemik.

Namun begitu, beliau bersyukur kerana sudah pun berpeluang melihat sendiri hampir keseluruhan negeri di Malaysia bukan sahaja di Semenanjung, tetapi juga Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, Hay berkata, antara pengalaman yang memberikan kesan ketika berada di Malaysia adalah semasa beliau menghabiskan beberapa bulan hidup bersama sebuah keluarga di Johor Bahru, Johor bagi mempelajari budaya Melayu.

“Sebelum menjadi Pesuruhjaya Tinggi, saya berpeluang menjalani kehidupan untuk belajar mengenai Melayu.

"Dengan hidup bersama keluarga tersebut, saya mula memahami mengenai perdebatan, perbincangan dan budaya,” kongsi beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!