Rumah Terbuka: Rapat hubungan antara pemimpin, rakyat

Mohd Zawawi
Mohd Zawawi
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri sempena sambutan Aidilfitri 2023 tidak boleh dikaitkan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebaliknya dilihat sebagai langkah merapatkan lagi hubungan pemimpin dan rakyat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, penganjuran rumah terbuka melibatkan kerajaan sama ada di peringkat persekutuan dan negeri sememangnya menjadi tradisi saban tahun.

Malah, katanya, menerusi penganjuran rumah terbuka di negeri terlibat itu memberi peluang kepada rakyat sendiri untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau hendak kaitkan dengan PRN itu tidak betul, kerana penganjuran rumah terbuka adalah masa sesuai untuk rakyat dapat merasai kemeriahan Aidilfitri,” katanya.

Ditanya penganjuran rumah terbuka di tiga negeri itu dianggap sebagai satu pembaziran, Mohd Zawawi berkata, selagi orang ramai datang dan makanan tidak terbuang ia tidak membazir.

“Saya lihat kebanyakan yang datang ke rumah terbuka ini bertemu untuk mengeratkan silaturahim.

“Kesempatan majlis santai makan-makan (rumah terbuka Aidilfitri) ini merapatkan silaturahim dan dapat menyatukan masyarakat berbilang kaum,” ujarnya.