Mahkamah persoal kelewatan AGC jawab representasi Abdul Azeez

Abdul Azeez gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram.

 - Foto Bernama
Abdul Azeez gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram.

 - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin mempersoal kelewatan Jabatan Peguam Negara (AGC) menjawab representasi yang dikemukakan oleh bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Datuk Seri Kamaludin Md Said berkata demikian selepas peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez, membangkitkan isu bahawa pihaknya masih menunggu jawapan representasi daripada AGC.

Susulan itu, pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad selaku responden memberitahu mahkamah bahawa, mereka belum menerima arahan berhubung representasi tersebut.

Kamaludin: Apa yang kamu buat? Orang (Abdul Azeez) sudah tulis pada kamu sekurang-kurangnya jawab, kalau tolak, tolaklah.

Aslinda: Kami menerima arahan untuk hadir ke mahkamah bagi keputusan rayuan yang telah dijadualkan hari ini.

Kamaludin: Sudah lama sangat.

Aslinda: Kertas siasatan dan minit telah ditaklimatkan kepada Peguam Negara tapi kami belum terima arahan selanjutnya.

Kamaludin: Peguam Negara buat apa?

Artikel Berkaitan:

Beliau yang mempengerusikan prosiding rayuan ini kemudian menyampaikan keputusan selepas merekodkan bahawa `status quo' representasi kekal tidak dijawab.

Turut bersidang dalam prosiding terbabit ialah Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Sementara itu, mahkamah menolak permohonan Abdul Azeez untuk membuat penjelasan berhubung ketidak hadirannya ketika prosiding rayuan minggu lalu.

Amer Hamzah: Anak guam saya ingin membuat penjelasan kepada mahkamah ini, berhubung perkara yang berlaku dalam rayuan kes lalu, ada media melaporkan prosiding itu secara tidak adil.

Kamaludin: Datuk Seri ada peguamkan, biarlah peguam yang bercakap. Ini bukan forum yang sesuai untuk Datuk Seri membuat ucapan, boleh cakap di luar mahkamah nanti, jangan buang masa, minta maaflah.

Amer Hamzah: Yang Arif, saya memohon maaf atas kesulitan ini.

Dalam prosiding ini, Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan Abdul Azeez untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA).

Bagaimanapun, mahkamah menerima rayuan Ahli Parlimen Baling itu untuk menggugurkan empat pertuduhan AMLA.

Ini bermakna Abdul Azeez yang sebelum ini didakwa atas 13 pertuduhan, hanya akan meneruskan perbicaraan bagi sembilan pertuduhan.

Memandangkan keputusan rayuan bagi sembilan kes tidak memihak kepadanya, Abdul Azeez mempunyai satu lagi peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan di sini.

Susulan keputusan ini, prosiding kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi akan berjalan seperti biasa dan sebutan ditetapkan pada 7 September.

Setakat ini seramai tujuh saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020.