[VIDEO] Pendirian Pas mahu jadi ‘king maker’ bahaya: Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pendirian Pas yang mahu menjadi 'king maker' (penentu kerajaan) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai pendekatan berbahaya.

Anwar berkata, tindakan tersebut mampu dilihat mengundang amalan ugut-mengugut dalam pembentukan kerajaan kelak.

“Pandangan (jadi king maker) saya, itu satu pendekatan yang berbahaya kerana akan beri ugutan. King maker (maknanya) nak sekian-sekian menteri (dan) kedudukan sepertimana yang berlaku sekarang.

Kalau cakap soal slogan sahaja, sama ada islam atau king maker, kita tengok di bawah kerajaan yang disertai Pas sekarang, aktiviti perjudian lebih parah sekarang berbanding dahulu.

“Yang kita nak adalah parti yang mengemukakan dasar yang jelas. Rasuah dah menjadi barah di negara ini, penyalahgunaan kuasa, ekonomi (yang) tidak dirancang dengan memuaskan, tidak dipacu dengan meyakinkan. Jadi hal-hal ini bagi saya lebih utama,” katanya ketika ditemui selepas Simposium Perubahan Iklim 2022 di bangunan Parlimen, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang memaklumkan parti itu yakin mampu menang 40 daripada 80 kerusi yang ingin ditandingi pada PRU15 nanti.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, sekiranya sasaran itu dapat dicapai, beliau yang juga Menteri Besar Kedah yakin Pas akan menjadi king maker kerana tiada mana-mana parti yang mampu membentuk kerajaan Persekutuan tanpa parti itu.

Artikel Berkaitan:

@sinarharianonline Ketua Pembangkang itu ingatkan tentang dasar kerajaan yang jelas serta kepedulian tentang rakyat yang perlu jadi keutamaan #fyp#AnwarIbrahim original sound Sinar Harian