Pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah tikam bekas kekasih

Mohamad Noor Faiz (depan kiri) dibawa untuk pertuduhan menikam dan mencederakan bekas kekasihnya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Isnin.
Mohamad Noor Faiz (depan kiri) dibawa untuk pertuduhan menikam dan mencederakan bekas kekasihnya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan menikam dan mencederakan bekas kekasihnya di Masai di sini hujung bulan lalu.

Mohamad Noor Faiz Md Hairi, 29, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohamad Noor Faiz didakwa telah menikam bekas kekasihnya, Sheery Hazmah Yasib, 34, di Apartment Meridin Bayvue, Taman Sierra Perdana, Masai dengan sebilah pisau pada jam 12.57 tengah hari, 31 Ogos lalu.

Atas pertuduhan itu, tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan dikenakan penjara selama 20 tahun atau boleh dihukum mati jika kecederaan dilakukan tertuduh serta tertakluk kepada hukuman penjara seumur hidup.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah mencederakan mangsa yang bekerja sebagai akauntan menggunakan sebilah pisau di lokasi dan masa sama.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan denda atau sebat.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon agar jaminan terhadap dirinya dapat dikurangkan kerana hanya bekerja sebagai seorang pemandu e-hailing tanpa pendapatan tetap selain turut menanggung empat ahli keluarga.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijamin sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan, selain menetapkan beberapa syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang berjumpa dengan mangsa atau saksi, tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis berhampiran sebulan sekali dan juga perlu menyerahkan pasport antarabangsa miliknya.

Artikel Berkaitan:

Siti Noraida kemudiannya menetapkan tarikh 6 November ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan juga penyerahan dokumen termasuk laporan perubatan mangsa.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Idayu Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.