Suami isteri mengaku tidak bersalah dera dua anak

Tertuduh, Nur Syafiqah (depan, kanan) dan suaminya, Noor Aliff Redzwan (belakang, dua dari kanan) diiringi anggota polis keluar dari ruang mahkamah selepas selesai sebutan kes mereka pada Khamis.
Tertuduh, Nur Syafiqah (depan, kanan) dan suaminya, Noor Aliff Redzwan (belakang, dua dari kanan) diiringi anggota polis keluar dari ruang mahkamah selepas selesai sebutan kes mereka pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan mendera anak mereka berusia lima dan enam tahun, Januari lalu.

Tertuduh, Noor Aliff Redzwan Zakaria, 29, dan isterinya, Nur Syafiqah Rosli, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Haryati Abdullah di hadapan Hakim, Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki dan perempuan itu sehingga mendatangkan kecederaan fizikal di kediaman mereka di Perumahan Pandan Damai, Bukit Rangin di sini, Januari lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh dikenakan perintah bon berkelakuan baik dan khidmat masyarakat tidak melebihi 240 jam.

Mangsa dalam kes itu merupakan anak tiri kepada tertuduh lelaki dan anak kandung kepada tertuduh wanita.

Susulan pengakuan tidak bersalah tertuduh itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh selain syarat tambahan tidak boleh menghampiri mangsa yang kini berada di bawah jagaan nenek mereka sehingga kes selesai.

Tertuduh juga diarah menyerahkan pasport dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam, Mohamad Hamizey Mat Taib merayu agar jumlah jaminan dikurangkan pada kadar paling minimum.

Dalam rayuan itu, Mohamad Hamizey memberi alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,500 sebulan manakala tertuduh wanita suri rumah sepenuh masa.

Mengambil kira rayuan tersebut, mahkamah membenarkan jumlah jaminan dikurangkan kepada RM12,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan seperti dikemukakan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 4 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.