Hentikan amalan Peguam Negara 'orang dia'

Pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya sudah sepatutnya dilakukan kerajaan. Gambar hiasan.
Pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya sudah sepatutnya dilakukan kerajaan. Gambar hiasan.
A
A
A

“SIAPA pun jadi Perdana Menteri, dia mesti jadikan Peguam Negara sebagai ‘orang dia’,”. Begitulah ayat yang diungkapkan oleh bekas Penasihat Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman dalam satu program UMNO baru-baru ini.

Sama ada Ahli Parlimen Pengerang itu terlanjur kata kerana ghairah dalam bersolidariti untuk Datuk Seri Najib Tun Razak atau beliau memang berniat dengan kata-kata itu, hanya beliau yang mengetahuinya.

Ini kerana ungkapan terlanjur ‘jujur’ Azalina itu membawa impak yang bukan sedikit kepada parti-parti politik, institusi Perdana Menteri bahkan kepada perundangan negara.

Walaupun sebahagian daripada kata-kata Azalina itu memang bukanlah satu rahsia, namun apabila ia diungkapkan pada satu majlis umum malah disiarkan secara langsung, ia bagaikan mengiakan apa yang dianggap sekadar persepsi sebelum ini.

Ini kerana, ramai yang membuat persepsi bahawa ada sesetengah Peguam Negara ‘memberi muka’ kepada pemimpin politik atau ahli korporat dalam kumpulan ‘orang dia’.

Apa tidaknya, apabila Peguam Negara ‘orang parti A’, tiada pemimpin parti A dan gengnya didakwa di mahkamah, begitulah juga apabila Peguam Negara ‘orang parti B’, kes melibatkan pemimpin B parti banyak yang digugurkan.

Pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya sudah sepatutnya dilakukan kerajaan sebagai satu lagi reformasi institusi perundangan dan demokrasi negara.

Ini kerana, kita tidak boleh lagi membenarkan Peguam Negara seorang sahaja yang mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada seseorang itu wajar didakwa, atau pendakwaan itu wajar diteruskan atau tidak.

Artikel Berkaitan:

Peguam Negara harus berkhidmat untuk kepentingan negara dan rakyat, bukan untuk kepentingan mana-mana parti atau individu.

Rakyat sedang melihat, menilai dan memantau tingkah laku pemimpin daripada semua parti. Ini kerana rakyat sudah pun memberi peluang dan merasai bagaimana setiap parti memerintah.

Sudah tiba masanya, pemimpin politik hari ini melakukan satu lagi reformasi bijaksana untuk melaksanakan pemisahan jawatan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara.

Ia demi memastikan tidak ada penjenayah, perasuah dan penipu yang terlepas daripada hukuman hanya dengan menggunakan kuasa Peguam Negara 'orang dia’.