Tular: Lelongan aset MBPJ palsu

Kenyataan MBPJ berkaitan lelongan palsu yang tular dalam media sosial.
Kenyataan MBPJ berkaitan lelongan palsu yang tular dalam media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Lelongan awam tender pelupusan aset membabitkan motosikal model Yamaha RXZ dan 125Z yang tular dalam media sosial baru-baru ini disahkan palsu.

Pengesahan itu dibuat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menafikan pihaknya menawarkan lelongan awam tender pelupusan aset terbabit dan kenyataan yang tular adalah palsu.

"Senarai itu adalah palsu dan bukan aset lelongan awam kenderaan sebenar yang dilelong MBPJ kerana lelongan kenderaan awam yang dilaksanakan di Pusat Inovasi Petaling Jaya pada tarikh itu adalah 31 unit kenderaan empat roda membabitkan kereta, kenderaan pacuan empat roda, van, pikap dan jentera berat.

"Kenderaan dua roda atau motosikal yang ditawarkan adalah 21 unit motosikal model Modenas Kriss dan satu unit Yamaha 135LC.

“Lelongan dilakukan menerusi dua sesi iaitu sesi pertama dari 9 hingga 10.30 pagi pada 15 April dan sesi kedua 16 April ini.

“Semua aset dilelong boleh dilihat di Pusat Inovasi Petaling Jaya dari 9.30 pagi hingga 4.30 petang mulai 8 hingga 12 April ini,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung lelongan awam kenderaan boleh melayari laman rasmi MBPJ melalui www.mbpj.gov.my atau menghubungi pegawai Bahagian Mekanikal dan Elektrikal, Jabatan Kejuruteraan Awam di talian 03-79541030 (Hairolazmi Juman Shah).

Sebelum itu, dua senarai yang memaparkan 27 motosikal yang didakwa ditawarkan untuk lelongan awam kenderaan oleh MBPJ tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Menerusi senarai itu, 18 motosikal ditawarkan adalah membabitkan model Yamaha RXZ dan tujuh lagi adalah model Yamaha 125Z yang dibuka untuk bidaan dengan harga bermula daripada RM50 hingga RM1,800 seunit.