Mangsa banjir di Selangor meningkat

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor meningkat pagi ini, manakala di Perak terus mencatat penurunan.
Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir di tiga daerah meningkat kepada 1,884 orang daripada 532 keluarga setakat pagi ini berbanding 1,846 orang daripada 517 keluarga pada petang semalam.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di Kuala Selangor, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Maharaja Lela menempatkan mangsa paling ramai, iaitu 401 orang, diikuti SK Parit Mahang (365), SK Sultan Abdul Aziz (223), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (190), SK Rantau Panjang (136), Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (135), SRA Batu 8 Ijok (120) dan SK Jaya Setia (98).
PPS SRA Pasangan pula menjadi tempat berlindung bagi 66 mangsa, Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (65) dan Dewan Orang Ramai Seri Harmoni (40), manakala SK Batu Arang di daerah Gombak menempatkan 25 mangsa dan Balai Raya Kampung Sungai Kelambu di Kuala Langat sebanyak 20 orang.
Sementara itu, di PERAK, jumlah mangsa banjir di lima daerah di negeri itu yang ditempatkan di enam PPS menurun kepada 467 orang daripada 157 keluarga setakat pagi ini berbanding 488 orang daripada 166 keluarga petang semalam.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), jumlah mangsa di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai di Manjung kekal 131 orang daripada 39 keluarga, manakala Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan di Hilir Perak menempatkan 97 mangsa daripada 31 keluarga.
Di Kerian, sebanyak 176 mangsa daripada 55 keluarga termasuk 12 mangsa tanah runtuh daripada tiga keluarga masih berlindung di PPS SK Bukit Merah dan SK Parit Haji Aman, manakala di Larut, Matang dan Selama, 10 orang daripada empat keluarga kekal berada di PPS SK Batu Hampar.
Sementara itu, PPS SK Tanjung Belanja di Perak Tengah menempatkan 53 mangsa daripada 25 keluarga.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan keadaan cuaca baik pada pagi ini, namun ribut petir dan hujan dijangka melanda pada sebelah petang dan malam di semua daerah di Perak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
