[VIDEO] Majlis Syura Pas akan tentukan logo parti pada PRU15

Tuan Ibrahim (kanan) beramah mesra dengan pemberita ketika melawat ke pusat media di Kompleks Pas Kedah pada Ahad.
Tuan Ibrahim (kanan) beramah mesra dengan pemberita ketika melawat ke pusat media di Kompleks Pas Kedah pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Penggunaan logo Pas atau Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan ditentukan oleh Majlis Syura Pas sebelum dibawa ke meja rundingan bersama pimpinan PN.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cadangan yang dibangkitkan oleh beberapa negeri itu perlu diperincikan di peringkat parti terlebih dahulu untuk dimuktamadkan.

Menurutnya, setelah usul berkenaan diangkat sebagai keputusan parti, perkara berkenaan akan dicadangkan dalam mesyuarat majlis pimpinan tertinggi PN.

"Pas akan perincikan dahulu di peringkat parti, sebelum dibawa ke peringkat pimpinan PN untuk dipertimbangkan.

"Ada satu usul kita terima tanpa bahas namun disebabkan ia berkaitan keputusan parti yang kita perlu bawa ke Majlis Syura, kita ambil keputusan untuk usul tersebut diangkat ke pentadbiran parti yang tak perlu dibahas, sebab perlu dapatkan keputusan Majlis Syura," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat media sempena Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-68 di Kompleks Pas Kedah, pada Ahad.

Pada Sabtu, perwakilan dari Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor menyuarakan keinginan untuk menggunakan lambang Pas pada PRU15 kerana lambang itu digunakan sejak 70 tahun lalu dan lebih dikenali.

Gesaan itu dibuat susulan ahli lebih yakin dengan lambang partinya sendiri berbanding lambang PN.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menyatakan satu mesyuarat akan diadakan minggu depan berkaitan perkara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas sama ada ia hanya membabitkan negeri-negeri yang ditadbir Pas atau untuk keseluruhan negeri, Tuan Ibrahim memberitahu, ia akan diperincikan selepas dimuktamadkan.

"Mesyuarat bulanan majlis pimpinan tertinggi PN sentiasa diadakan, kita akan bincang.

"Namun secara asasnya, Muhyiddin dilihat berlapang dada untuk dengar pandangan tersebut untuk kita putuskan bersama dalam mesyuarat itu kelak," ujarnya.