Muhyiddin curi tumpuan di Muktamar Pas

Muhyiddin duduk bersebelahan Abdul Hadi Awang (kanan) di pentas utama Dewan Datuk Haji Fadzil Mohd Noor pada Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Sabtu.
Muhyiddin duduk bersebelahan Abdul Hadi Awang (kanan) di pentas utama Dewan Datuk Haji Fadzil Mohd Noor pada Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kehadiran Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini pada Sabtu mencuri tumpuan pemerhati politik dan perwakilan.

Muhyiddin yang mengenakan persalinan baju Melayu serba biru dan bersongkok duduk bersebelahan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di pentas utama Dewan Datuk Haji Fadzil Mohd Noor.

Turut kelihatan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bersama Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-68 turut dihadiri Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sebelum itu, Abdul Hadi tiba kira-kira ham 8.40 pagi di pekarangan kompleks dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berwarna hitam sambil diiringi motosikal berkuasa besar Alternative Riding Club (ARC).

Selepas ketibaan, Abdul Hadi menerima tabik hormat sebelum memeriksa perbarisan kehormat Jabatan Amal Malaysia dengan diiringi Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Saad Yahaya kira-kira jam 8.45 pagi.

Acara diteruskan dengan lagu rasmi Pas, ucapan ayat al-Quran, ucapan aluan Takiyuddin serta ucapan dasar dan perasmian muktamar daripada Presiden Pas.

Difahamkan, seramai 1,300 perwakilan dari 197 kawasan seluruh negara mengambil bahagian dalam Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang berlangsung di Kedah.

Artikel Berkaitan: