PRU15: Akar umbi Pas mahu lambang hijau digunakan

Sebahagian perwakilan menyertai Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-68 di Kompleks Pas Kedah,Kota Sarang Semut, di sini, pada Sabtu.
Sebahagian perwakilan menyertai Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-68 di Kompleks Pas Kedah,Kota Sarang Semut, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Pas diminta mendengar suara akar umbi yang sebahagian besar mahu lambang hijau bulan parti itu digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perwakilan Pas Kedah, Helmi Wahab berkata, memandangkan lambang itu digunakan oleh Pas sejak 70 tahun lalu dan dikenali di seluruh negara, ia wajar dipertimbangkan untuk digunakan pada PRU15.

Menurutnya, gesaan itu dibuat susulan ahli lebih yakin dengan lambang partinya sendiri berbanding lambang Perikatan Nasional (PN).

“Hari ini kita melihat Kedah tersergam indah dengan kehijauan, justeru saya mewakili perwakilan sarankan pada PRU15 nanti juga dikibarkan bendera hijau bagi berhadapan musuh-musuh Pas," katanya pada sesi perbahasan ucapan dasar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Pas Pusat di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri Pas Kedah berkata, perkara itu perlu dibawa kepada pucuk pimpinan parti.

“Pastikan kibaran bendera Pas dan pangkah hijau bulan,” katanya yang disahut dengan sokongan perwakilan yang hadir.

Helmi berkata, ia adalah hasrat Kedah dan bukan sekadar usul.

"Rayulah, ini bukan sekadar usul, kita pastikan lambang parti Pas sebagai lambang PRU15,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Perwakilan dari Kelantan, Terengganu dan Selangor juga menyuarakan keinginan sama menggunakan lambang Pas pada PRU15 bagi memastikan misi menawan negeri pembangkang dapat direalisasikan.

Permintaan itu disuarakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Noor Najhan Mohamad Salleh ketika sesi perbahasan.

Pendekatan itu adalah salah satu cara untuk memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak lagi menjadi kerajaan di Selangor pada pilihan raya akan datang.

“Dalam konteks Selangor ada dua pendekatan ingin saya cadangkan, pertama berunding dalam gabungan Muafakat Nasional (MN) selain Perikatan Nasional (PN) untuk selesaikan pembahagian kerusi secara saskama demi bertanding satu lawan satu.

“Kedua, Pas Selangor mohon izin untuk bertanding menggunakan lambang Pas dalam PRU15,” katanya lagi.

Noor Najhan tegaskan, penggunaan logo Pas penting sekiranya parti itu serius mahu memainkan peranan sebagai pendamai agar dilihat tidak memihak tetapi mesra kepada semua pihak.

“Rakyat Selangor tidak akan menolak PH melainkan kita amalkan politik penyatuan ummah,” katanya.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya akan mempertimbang semula penggunaan logo PN dalam PRU15 kerana menyedari terdapat suara tidak puas hati kalangan akar umbi parti itu.

Manakala Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, satu mesyuarat akan diadakan minggu depan berkaitan penggunaan logo Pas melibatkan negeri di bawah pimpinannya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.