Kalimah ALLAH: Kabinet akan tentukan kementerian bertanggungjawab

Saifuddin Nasution menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Persaraan Jabatan Pendaftaran Negara di Puspanitapuri pada Khamis. - Foto Bernama
Saifuddin Nasution menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Persaraan Jabatan Pendaftaran Negara di Puspanitapuri pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kabinet akan menentukan kementerian yang akan dipertanggungjawabkan terhadap draf cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ALLAH sebelum dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, punca kuasa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 adalah di bawah kawal selia KDN.

"Kabinet akan tentukan kemudian," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan Persaraan 2023, Jabatan Pendaftaran Negara di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai langkah kabinet untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ALLAH kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh dan bersepadu.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Bagaimanapun tindakan itu mengundang kritikan pelbagai pihak yang meminta penjelasan lanjut daripada kerajaan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah ALLAH.