UMANY desak UM tangani masalah kekurangan kolej kediaman

Barisan kepimpinan UMANY yang mendesak agar pihak pentadbiran UM segera menyelesaikan masalah kekurangan penempatan kolej kediaman mahasiswa.
Barisan kepimpinan UMANY yang mendesak agar pihak pentadbiran UM segera menyelesaikan masalah kekurangan penempatan kolej kediaman mahasiswa.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) mendesak pihak pentadbiran Universiti Malaya (UM) untuk segera menyelesaikan masalah kekurangan penempatan kolej kediaman mahasiswa.

UMANY dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, hampir 9,000 mahasiswa universiti itu gagal mendapatkan kolej kediaman pada tahun ini.

Menurutnya, ia juga merupakan sejarah kekurangan bilik kolej kediamanan yang terburuk dalam sejarah UM.

“Kebanyakan pelajar golongan berpendapatan rendah (B40) yang memperolehi markah aktiviti (merit) yang tinggi gagal mendapat penempatan tersebut, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati banyak pihak.

“UMANY mengutuk sikap tidak bertanggungjawab pihak universiti kerana mendiamkan diri dalam isu yang serius ini,” katanya.

Jelas kenyataan itu, antara faktor berlakunya kejadian itu adalah disebabkan pengambilan pelajar baharu yang terlalu ramai.

Tambahnya, pada masa sama kerajaan juga telah mengurangkan pembiayaan kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Selain itu, sistem pemilihan pemohon yang tidak telus turut menjadi faktor penyumbang fenomena ini.

Artikel Berkaitan:

“Mahasiswa juga tiada kuasa untuk menguruskan kolej kediaman kerana di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) mahasiswa tidak mempunyai kuasa autonomi kewangan.

“Walaupun Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) berusaha berkali-kali untuk mendapatkan kuasa pengurusan kolej kediaman, Hal Ehwal Pelajar (HEP) turut menolak cadangan tersebut,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, UMANY bersama KMUM turut menuntut pihak pentadbiran UM untuk melaksanakan lapan tuntutan bagi menjaga kebajikan mahasiswa.

“Antaranya ialah kembalikan rumah sewa KMUM kepada mahasiswa dan pengurusan mahasiswa, berikan keadilan kepada semua kes gangguan seksual di UM, laksanakan Pilihan Raya Kolej UM serta menjamin pemerkasaan hak mahasiswa UM untuk bersuara dan berpersatuan,” jelas kenyataan itu.