[VIDEO] Kehilangan wang projek LCS lagi besar dari 'siapa Zainab': Rafizi

Rafizi Ramli ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, pada Sabtu.
Rafizi Ramli ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menegaskan isu ‘kehilangan’ wang tender projek kapal tempur pesisir (LCS) lebih penting berbanding identiti Zainab Mohd Salleh.

Rafizi berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan susulan satu laporan polis dibuat oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan perolehan LCS.

"Dakwaan yang dibuat bukan berdasarkan khabar angin sebaliknya dokumen laporan audit melalui kabinet.

“Saya menghormati pihak berkuasa perlu menjalankan tugas mereka, namun saya harap siasatan terhadap laporan dibuat Akmal (Akmal Nasrullah) dapat dipercepatkan," katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, pada Sabtu.

Sebelum itu, Rafizi bersama peguamnya tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul jam 3 petang Sabtu bagi merakamkan keterangan.

Rafizi dipanggil polis susulan laporan dibuat terhadapnya berkaitan dakwaan mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) dikatakan membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Rafizi berkata, isu mengenai identiti Zainab bakal terjawab jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan.

"Soal Zainab akan terjawab sendiri. Apa yang ditulis dalam laporan forensik audit jelas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Rafizi, proses itu sama seperti kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Rafizi sebelum ini mendakwa Abdul Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak Kementerian Pertahanan bernilai jutaan ringgit untuk projek LCS sedangkan menteri terbabit sudah menafikan hubungannya dengan wanita itu.