Isu LCS: Rafizi gesa PM pecat Abd Latiff

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad daripada jemaah menteri.

Rafizi berkata, tindakan itu perlu diambil susulan tiada penafian atau kenyataan balas yang dilakukan oleh Abd Latif berhubung pendedahan mengenai isterinya.

Ujar beliau, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin juga perlu memaklumkan secara rasmi kepada Perdana Menteri bahawa parti tersebut membuat keputusan supaya Abd Latiff digantikan dengan calon lain dalam jemaah menteri.

“Ini satu ujian penting untuk menilai adakah Muhyiddin dan Bersatu benar-benar ikhlas menentang rasuah, seperti tulisan beliau yang mengambil kredit atas penghukuman kes SRC baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Isnin, Rafizi mendakwa dua syarikat palsu yang terlibat dalam skandal penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS) dimiliki isteri kepada salah seorang menteri kabinet ketika ini.

Berdasarkan semakan katanya, kedua-dua syarikat terbabit iaitu Alizes Marine Limited didaftarkan di Malta dan Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan, Sabah ‘digunakan’ untuk menjadi pembekal alat-alat ganti kepada projek kapal LCS.

Abd Latiff pada Isnin menafikan bahawa individu bernama Zainab Mohd Salleh yang didakwa terlibat dalam skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) merupakan isterinya.

Abd Latiff yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan berkata, beliau bersedia untuk memberikan kerjasama sekiranya pihak berkuasa mahu menjalankan siasatan selanjutnya berhubung perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, menurut Rafizi, penafian daripada Abd Latiff itu didakwa merujuk kepada individu lain iaitu CFO Dialog Bhd yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai.

“Sejak saya mendedahkan seorang yang bernama Zainab Mohd Salleh sebagai individu yang dinamakan sebagai isteri Abd Latiff Ahmad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) di dalam Laporan Forensik Projek LCS, sehingga sekarang Abd Latiff tidak menafikan kenyataan itu.

“Satu-satunya kenyataan yang dikeluarkan adalah sebelum saya mendedahkan identiti sebenar Zainab Mohd Salleh.

“Dengan tiadanya penafian atau kenyataan balas menafikan yang individu yang dinamakan itu isterinya, rakyat boleh membuat kesimpulan bahawa pendedahan saya itu benar,” ujarnya.