[VIDEO] Diuji sakit sendi, bekas pengurus besar kini terlantar

Mohammad Ariq sentiasa membantu ibunya yang terlantar sakit di rumah.
Mohammad Ariq sentiasa membantu ibunya yang terlantar sakit di rumah.
A
A
A

SEREMBAN - Hidup seorang ibu tunggal berubah sekelip mata selepas dia diuji dengan penyakit rheumatoid arthritis dan osteoarthritis atau penyakit berkaitan sendi sejak tahun lalu.

Dari seorang yang aktif dan mempunyai kerjaya dengan pendapatan berbelas ribu ringgit, A'fiyah Abdul Fadzil, 48, yang dahulunya pernah bekerja sebagai pengurus besar sebuah syarikat kini hanya terlantar sakit di rumah.

Malah hidupnya bersama lima anak yang tiga daripadanya masih belajar semakin tersepit selepas kesemua duit simpanannya telah habis digunakan selain terpaksa menjual tiga kereta.

Menurutnya, pada awalnya dia hanya diserang sakit lutut tetapi semakin bertambah teruk pada Oktober tahun lalu.

"Kedua-dua lutut saya mula membengkak dan ia jadi terlalu sakit menyebabkan saya langsung tak boleh berjalan.

"Dalam tempoh itu juga, saya hanya bergantung dengan ubat tahan sakit dan susut bengkak, sehinggalah jiran saya membantu menghantar ke sebuah hospital swasta di sini dan doktor sahkan saya menghidap penyakit terbabit awal Januari lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Rasah Kemayan di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun katanya, rawatan di hospital itu tidak dapat diteruskan kerana kosnya yang mahal dan dia beralih ke hospital kerajaan.

A'fiyah menunjukkan imbasan x-ray keadaan tempurung lututnya.
A'fiyah menunjukkan imbasan x-ray keadaan tempurung lututnya.

Jelasnya, doktor mencadangkan dia membuat pembedahan menukar tempurung lutut dengan kos RM70,000, tetapi ia masih dalam pertimbangannya.

"Macam-macam yang saya fikir kerana ia berisiko. Ada juga kawan-kawan yang cadang pergi ke hospital swasta kerana ada rawatan alternatif lain boleh dilakukan selain daripada pembedahan.

"Tapi semuanya memerlukan kos yang tinggi iaitu mencecah puluhan ribu dan saya pula sudah kehabisan wang simpanan," katanya.

Lebih menyedihkan lagi, disebabkan keadaan kesihatan A'fiyah, anak keduanya, Mohammad Afzal Adib Razali, 22, memilih untuk berhenti belajar kerana mahu bekerja bagi membantu menyara keluarga sekali gus memudahkannya untuk menguruskan A'fiyah ke hospital.

A'fiyah yang terlantar sakit akibat penyakit berkaitan sendi sejak tahun lalu.
A'fiyah yang terlantar sakit akibat penyakit berkaitan sendi sejak tahun lalu.

Katanya, hidupnya di rumah kini bergantung sepenuhnya dengan Mohammad Afzal dan anak bongsu, Mohammad Ariq Aqil yang berusia 10 tahun selain mengharapkan ihsan kawan, jiran dan saudara mara.

"Dua anak saya inilah yang bantu uruskan makan dan minum serta urusan saya ke bilik air.

"Anak ketiga dan keempat saya pula sedang menyambung pengajian diploma masing-masing di politeknik Kelantan dan sebuah kolej swasta di Melaka, manakala anak sulong perempuan, tinggal dengan bekas suami," katanya.

Oleh sebab itu katanya, dia sangat berharap agar segera sembuh supaya dapat bekerja semula bagi menyara keluarga.

Ujarnya, kehidupannya kini benar-benar sukar dan bayaran ansuran bulanan rumahnya sudah tiga bulan tertunggak serta bil air dan bil elektrik yang mencecah hampir RM8,000.

"Sebelum ini, selama enam bulan ansuran bulanan rumah tertunggak, namun mujurlah pihak masjid dan jiran-jiran membantu.

"Nak tampung hidup, saya sudah jual tiga kereta. Tapi saya bersyukur tinggal di kawasan kejiranan yang penduduknya sangat prihatin. Tapi sampai bila," katanya.

Sementara itu katanya, setiap bulan dia memerlukan sekurang-kurangnya RM5,000 bukan sahaja untuk kos rawatan tetapi juga perbelanjaan harian termasuk membeli lampin pakai buang dan susu khas.

Sepatutnya kata A'fiyah, dia perlu makan makanan berkhasiat untuk membantu proses penyembuhannya tetapi dengan keadaan hidupnya sekarang, dia tidak boleh terlalu memilih.

"Jadi saya makan apa yang ada saja dan hanya fikir nak sembuh kerana nak bekerja semula.

"Masalahnya sekarang ini saya nak berjalan pun tak dapat dan nak ikhtiar berubat pun semuanya memerlukan kos sedangkan duit simpanan saya sudah habis digunakan," katanya.

Bagaimanapun katanya, dia reda dengan ketentuan itu, namun mengharapkan keajaiban supaya dapat pulih kerana mengenang anak-anak yang masih perlu ditanggung.

"Isteri Menteri Besar, Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Negeri Sembilan, Baitumal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat pun ada turun ziarah baru-baru ini," katanya.

Bagi sesiapa yang berhasrat membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank 162357264911 atas nama A'fiyah.