'Tidak campur tangan, serah pada UM' - Noraini

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Noraini)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Noraini)
A
A
A

BAGAN SERAI - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak campur tangan dalam siasatan video tular di media sosial mengenai seorang calon ijazah doktor falsafah (PhD) Universiti Malaya (UM) yang mendakwa hasil penyelidikannya diambil penyelia tanpa kebenaran.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, siasatan telus dan terperinci berhubung isu itu diserahkan sepenuhnya kepada pengurusan UM yang mempunyai autonomi terhadap kes berkenaan.

"Kes ini terjadi di UM dan UM sendiri telah membuat siasatan serta laporan polis berkaitan video tular tersebut.

"Jadi kita akan serahkan kepada universiti kerana mereka mempunyai autonomi masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Komuniti@KKBSe (Kolej Komuniti Bagan Serai) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, pengurusan UM telah menghantar laporan berhubung dakwaan pelajar itu kepada kementerian bersama laporan polis yang dibuat.

"Saya rasa elok tunggu laporan dan siasatan polis kerana UM sendiri pun sudah hantar laporan dan menyatakan telah buat laporan polis berkaitan tuduhan itu," katanya.

Pada 29 Ogos lepas, media melaporkan, UM turut membuat laporan polis bertujuan menafikan dakwaan dibuat pelajar tersebut.

Dalam video tular itu, pelajar dari Yaman berusia 34 tahun berkenaan membuat laporan polis terhadap UM mendakwa kajiannya diambil tanpa pengetahuan.

Artikel Berkaitan:

Melalui video durasi lebih seminit itu, pelajar berkenaan memaklumkan menghabiskan hampir dua tahun untuk menyiapkan kajian tersebut tetapi akhirnya kecewa apabila kajiannya diambil pihak universiti.

Noraini ketika melawat ruang pameran yang disediakan sempena Karnival Komuniti@KKBSe (Kolej Komuniti Bagan Serai) di sini pada Sabtu.
Noraini ketika melawat ruang pameran yang disediakan sempena Karnival Komuniti@KKBSe (Kolej Komuniti Bagan Serai) di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Noraini berkata, kementerian telah mempersiapkan elemen Revolusi Perindustrian 4.0 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) untuk tempoh 2015 hingga 2025.

Menurutnya, rangka kerja ini adalah untuk memastikan seluruh institusi pendidikan di bawah kementerian mewujudkan silibus akademik dan kemahiran baharu untuk pelajar menceburi industri pekerjaan masa kini.

"Pada tahun 2021, kadar kebolehpasaran pelajar kolej komuniti telah mencapai 94.8 peratus dan politeknik pula 93.7 peratus.

"Maka tidak boleh dinafikan bahawa pelajar lulusan kolej komuniti masih memiliki nilai pasaran kerja yang tinggi, walaupun ketika itu negara sedang berdepan pandemik Covid-19," kata beliau.