Sanusi tuju pantun buat Ismail Sabri

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor -Foto Bernama
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor -Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menulis serangkap pantun buat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pantun tersebut mendapat tepukan tetamu yang hadir pada Perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kedah.

Pantun itu disampaikan Muhammad Sanusi ketika akhir ucapan majlis yang berlangsung di perkarangan Astaka Utama Stadium Darul Aman, di sini, pada Jumaat.

“Dari Kedah Ke Parit Sulong,

Menganyam rindu jarang bertemu,

Alangkah baik sikapmu Pak Long,

Ingin kami semua berlama-lama denganmu.”

Pantun itu seolah-olah membayangkan tanda sokongan Muhammad Sanusi terhadap Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, dalam ucapannya Muhammad Sanusi turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ismail Sabri yang telah melepasi tempoh 100 hari memikul amanah dan tanggungjawab selaku Perdana Menteri Malaysia.

“Pada hari ini, cukup tempoh setahun 11 hari Datuk Seri mengemudi bahtera tanah air kita.

“Datuk Seri selayaknya menerima pujian dan penghargaan kerana sewaktu mengambil alih kepimpinan negara, datuk bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan cabaran fasa pandemik Covid-19 yang begitu getir malahan juga kemelut politik dari dalam dan luar parti datuk sendiri,”katanya.

Muhammad Sanusi berpandangan Ismail Sabri ternyata mampu menangani cabaran ini dengan tenang dan berwibawa.

“Gagasan “Keluarga Malaysia’ yang dibawa oleh kepimpinan YAB Perdana Menteri membawa nilai dan makna yang cukup besar dalam menyatukan hati kita semua menghadapi pelbagai cabaran sejak beberapa tahun kebelakangan,”katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi menyifatkan gagasan “Keluarga Malaysia” yang dibawa dalam kepimpinan Perdana Menteri adalah seiring dari segi konsep dan prinsipnya dengan slogan dasar Kerajaan Negeri “Kedah Sejahtera - Nikmat Untuk Semua” yang diperkenalkan sejak beliau diberi amanah memimpin kerajaan negeri bermula 17 Mei 2020.