HARRIS Sunshine Penang bakal jadi tarikan terbaharu

Cynthia (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian bersama Pengarah Urusan The Ascott Limited Malaysia, Mondi Mecja (dua dari kiri).
Cynthia (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian bersama Pengarah Urusan The Ascott Limited Malaysia, Mondi Mecja (dua dari kiri).
A
A
A

GEORGETOWN - HARRIS Sunshine Penang bakal menjadi mercu tanda baharu di Bandar Baru Ayer Itam apabila ia dijangka dibuka pada suku ketiga 2023.

Hotel 27 tingkat itu mempunyai 289 bilik selain ruang konvensyen dan persidangan (MICE) seluas 10,210 meter persegi sesuai untuk menganjurkan pelbagai acara berskala besar.

Ketua Pegawai Eksekutif, Crimson Omega Sdn Bhd, Cynthia Hwang berkata, kerja pembinaan hotel tersebut kini telah mencapai 86 peratus terletak di kawasan pembangunan bercampur di kawasan Bandar Baru, Ayer Itam.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan Ascott International Management (M) Sdn Bhd yang akan menguruskan hotel terbabit.

“Kami menjangkakan kemasukan pelancong tempatan dan asing yang tinggi ke Bandar Baru Air Itam sekali gus akan memacu pembangunan ekonomi tempatan.

“Kami amat optimis dengan pembangunan ini akan memberi kesejahteraan dan membawa banyak peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat Bandar Baru Air Itam sekitar seterusnya menjadikan kawasan terbabit pesat membangun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum majlis menandatangani perjanjian di antara Crimsin Omega Sdn Bhd dan Ascott International Management (M) Sdn Bhd di Suntech@Penang Cybercity pada Jumaat.

Hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu, Exco Pelancongan dan Industri Kreatif, Yeoh Soon Hin.

Artikel Berkaitan:

Cynthia (tiga dari kiri) bergambar bersama rakan strategik HARRIS Sunshine Penang.
Cynthia (tiga dari kiri) bergambar bersama rakan strategik HARRIS Sunshine Penang.

Sememtara itu, Ketua Pembangunan Perniagaan Ascott Limited, Mak Hoe Kit mengucapkan terima kasih kepada Crimson Omega kerana memberi kepercayaan kepada Ascott untuk mengendalikan HARRIS Sunshine Penang yang pertama di Pulau Pinang.

Beliau berkata, Ascott berbangga menjadi sebahagian daripada pembangunan berprestij di Sunshine Central, Bandar Baru Ayer Itam.

Hoe Kit berkata, HARRIS Sunshine Penang terletak di lokasi yang strategik dengan jaraknya yang berdekatan dengan tarikan pelancong seperti Kuil Kek Lok Si dan Bukit Bendera.

“HARRIS Sunshine Penang akan menampilkan unit studio, satu bilik tidur dan dua bilik tidur untuk memenuhi gaya hidup serta profil pengembara yang berbeza.

"Konsep HARRIS adalah untuk menyediakan persekitaran yang segar, bertenaga dan menyeronokkan dengan penekanan pada kesejahteraan pengembara yang sedang dalam perjalanan.

“HARRIS Sunshine Penang akan menawarkan kemudahan yang tiada tandingan kepada tetamu dan pengalaman gaya hidup yang lengkap, dengan kemudahan termasuk kolam renang, gimnasium, ruang istirahat perniagaan, dewan bankuet, bilik majlis dan restoran makan sepanjang hari di dalam hartanah," jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, para tetamu boleh menikmati akses mudah ke pelbagai kemudahan makan, runcit dan gaya hidup di Sunshine Central yang akan dibangunkan sebagai lokasi langsung, kedai, tempat kerja serta permainan serba lengkap.