HTAA bakal jadi hospital pengajar perubatan sukan

Dr Nor Azimi (tiga dari kiri) melawat reruai pameran selepas rasmikan Program 1st National Clinical Exercise Testing Symposium 2023: An Introduction to Cardiopulmonary Exercise Testing di bangunan Klinik Pakar, HTAA pada Khamis.
Dr Nor Azimi (tiga dari kiri) melawat reruai pameran selepas rasmikan Program 1st National Clinical Exercise Testing Symposium 2023: An Introduction to Cardiopulmonary Exercise Testing di bangunan Klinik Pakar, HTAA pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bakal menjadi hospital pengajar bagi Program Latihan Kepakaran (PLK) Perkhidmatan Perubatan Sukan bagi penuntut Sarjana Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada pertengahan tahun hadapan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, perkara itu kini dalam proses melengkapkan kertas kerja untuk diusulkan kepada Universiti Malaya (UM) bagi mendapatkan pengiktirafan daripada pakar insititusi pengajian tinggi terbabit.

Beliau menjangkakan pengiktirafan itu diperolehi awal tahun hadapan bagi menjadikan HTAA sebagai pusat latihan pertama di Pantai Timur yang menawarkan perkhidmatan terbabit.

“Buat masa ini, kita dalam proses melengkapkan kertas kerja dan melakukan justifikasi termasuk dari segi keperluan kepakaran dan peralatan. Kertas kerja ini kita akan diserahkan kepada pihak UM dalam masa terdekat.

"Kita jangka pihak mereka (UM) akan membuat lawatan ke hospital pada penghujung tahun ini. Selepas itu, kita akan menunggu keputusan mesyuarat di peringkat kebangsaan pada awal tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program 1st National Clinical Exercise Testing Symposium (NACETS) 2023: An Introduction to Cardiopulmonary Exercise Testing (CORT) di bangunan Klinik Pakar, HTAA, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi berkata, HTAA akan menerima penuntut atau pelatih dalam perubatan sukan mulai pertengahan tahun hadapan untuk menjalani latihan selepas mendapat pengiktirafan itu.

Ujarnya, malah, HTAA akan menjadi hospital kelima sebagai hospital pengajar kepada program latihan kepakaran perubatan sukan ini selain empat buah hospital yang lain.

"Setakat ini, empat hospital di bawah KKM iaitu Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang Selangor dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang yang menyediakan pusat latihan manakala UM sebagai pusat tunggal menawarkan Sarjana Kepakaran Perubatan Sukan.

“Kita yakin mempunyai keupayaan dalam melaksanakannya terutama dari segi fasiliti yang sudah ada ditempatkan di HTAA ini,” jelasnya.

Sebelum itu, Dr Nor Azimi memaklumkan dua pakar perubatan sukan telah ditempatkan di HTAA selepas unit perubatan sukan ditubuhkan secara rasmi di hospital terbabit pada 2021.

Menurutnya, terdapat peningkatan sekitar lima peratus pesakit yang mendapatkan perkhidmatan di unit terbabit.

“Golongan pesakit yang mendapatkan perkhidmatan ini dianggarkan 90 peratus daripadanya adalah populasi masyarakat umum dan hanya 10 peratus merupakan golongan atlet.

“Ini bermaksud, kita dapati bahawa perkhidmatan perubatan sukan ini sudah mula dikenali sekali gus memberi impak bahawa unit tersebut mempunyai signifikan di negeri ini khususnya.

“Kini Unit Perubatan Sukan HTAA sudah mengorak langkah dengan penawaran perkhidmatan baharu dengan membuka pemeriksaan klinikal ‘cardiopulmonary excercise testing’ bagi golongan atlet dan juga masyarakat umum,” katanya.