OKU penglihatan kongsi pengalaman tawan puncak Kinabalu

 endaki orang kurang upaya (OKU) penglihatan, Ahmad Danial Mohd Sani, 28, ketika berada di puncak Gunung Kinabalu pada 21 Ogos lalu. - Foto Bernama
endaki orang kurang upaya (OKU) penglihatan, Ahmad Danial Mohd Sani, 28, ketika berada di puncak Gunung Kinabalu pada 21 Ogos lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Perasaan belia Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan Ahmad Danial Mohd Sani, 28, bercampur baur antara gembira dan terharu apabila buat pertama kali berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos lepas.

Kejayaan Ahmad Danial menawan puncak gunung setinggi 4,095 meter itu membuktikan bahawa kekurangan pancaindera bukan menjadi penghalang untuk individu OKU penglihatan sepertinya merasai detik terindah dalam hidup seterusnya melakar pengalaman berharga sama seperti orang lain.

Pelajar Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam (Pengajian Quran dan Sunnah) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu juga tidak pernah menyangka mampu berbuat demikian dan lebih menarik dia turut mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Ahmad Danial merupakan antara 22 peserta termasuk enam pendaki OKU lain yang menyertai Ekspedisi Kinabalu OKU Challenge 2022 anjuran Pusat Pembangunan Sukan UIAM dengan kerjasama Unit Perkhidmatan OKU UIAM sempena ulang tahun ke-40 universiti tersebut.

"Ini adalah kali pertama saya mendaki gunung dan saya tiada pengalaman. Ketika memulakan pendakian, saya berasa gementar tetapi setelah sampai ke puncak gunung, perasaan saya bertukar gembira dan sangat terharu walaupun banyak cabaran terpaksa ditempuhi sepanjang pendakian,” katanya kepada Bernama.

"Saya juga tidak pernah menyangka atau membayangkan akan berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu. Ini adalah saat paling indah yang tidak akan dapat dilupakan. Terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak membantu sepanjang ekspedisi,” kata anak kelahiran Selangor itu.

Walaupun lambat menerima permit untuk menyertai ekspedisi iaitu seminggu sebelum pendakian dimulakan, namun Ahmad Danial tetap bersemangat meneruskan misi dengan membuat persiapan termasuk menjalani latihan fizikal.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia begitu seronok dan teruja kerana meskipun tidak dapat melihat secara langsung, tetapi dia masih dapat menghayati serta membayangkan keindahan panorama alam semula jadi di sepanjang pendakian Gunung Kinabalu berdasarkan penerangan dikongsi oleh rakan ekspedisi.

Artikel Berkaitan:

"Saya boleh dengar bunyi haiwan, rakan-rakan beritahu ada tupai, ada pokok dan air terjun. Saya dapat membayangkan keindahan alam semula jadi di sana. Di puncak gunung pula, dapat dirasakan pemandangannya cantik dan suasana cuaca yang sejuk. Tidak pernah merasakannya sebelum ini,” katanya.

Pensyarah Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan UIAM Profesor Madya Dr Mohd Nizam Barom yang juga OKU penglihatan berkata, ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu merupakan pengalaman tidak boleh dilupakan dan ia bukan pendakian biasa sebaliknya membawa mesej dan elemen inklusif merangkumi semua aspek.

"Ia satu simbolik kerana kami membawa misi inklusiviti untuk semua komuniti OKU di Malaysia sempena Hari Kebangsaan agar setiap dasar kerajaan termasuk swasta dan organisasi akan lebih bersifat inklusif dan proses ke arah penghakupayaan OKU diteruskan di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) UIAM Profesor Madya Dr Zulkifli Hasan berkata, kesungguhan dan keupayaan peserta OKU dalam ekspedisi itu dalam meneruskan dan seterusnya menyempurnakan misi pendakian dilihat sangat luar biasa.

Di sebalik cabaran ditempuhi sepanjang pendakian, Zulkifli yang mengetuai ekspedisi itu berkata terjalin semangat kekitaan jitu dan ekosistem sokongan kuat apabila rakan ekspedisi sentiasa menghulurkan bantuan kepada peserta OKU agar mereka dapat bersama merealisasikan impian menawan puncak Gunung Kinabalu.

"Ada beberapa ketika cabarannya adalah terutama ketika menggunakan tali, tidak ada tangga dan itu lebih sukar. Kami lihat bagaimana rakan-rakan semua membantu mereka (peserta OKU) dan akhirnya dapat sampai ke puncak gunung,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bercadang meneruskan program itu bersama program berimpak tinggi lain bukan hanya melibatkan universiti tetapi juga semua pihak berkepentingan berkaitan pembangunan OKU selaras dengan aspirasi untuk membawa wacana inklusif merangkumi keperluan OKU dan bukan OKU.

"Marilah kita semua rakyat Malaysia membawa nilai untuk melihat semula kepada hak kebajikan dan pembangunan OKU dan juga rakyat yang dikesampingkan kerana kita adalah sebuah Keluarga Malaysia dan kita perlu membawa semangat inklusif dalam semua masyarakat,” katanya. - Bernama