Alesyah tersenarai 10 finalis anugerah antarabangsa STEM

Alesyah
Alesyah
A
A
A

KOTA KINABALU - Segala usaha yang ditabur Alesyah Asa, 20, untuk menjayakan projek Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEM) berbaloi apabila beliau dinobatkan sebagai 10 finalis terbaik bagi anugerah Chegg.org Global Student Prize 2022 yang berpusat di Amerika Syarikat.

Keputusan itu diumumkan pada Khamis dan Alesyah yang juga pelajar jurusan teknologi pembinaan Kolej Vokasional Keningau, mungkin berpeluang merangkul hadiah sebanyak AS$100,000 (RM448,000) jika dinobatkan sebagai pemenang dalam anugerah itu.

Menurut Alesyah, dia tidak menyangka daripada 7,000 pencalonan akhirnya tersenarai dalam 50 peserta dan terbaru dimaklumkan tersenarai lagi dalam 10 finalis terbaik.

"Perjalanan dalam penyertaan anugerah ini memakan masa sehingga berbulan sebelum diumumkan semalam oleh pihak penganjur bahawa saya tersenarai dalam 'top 10' pertandingan ini.

"Dalam tempoh itu, saya diberi tugasan untuk menceritakan mengenai projek 'smart mortar spreader for floor tiles' iaitu memasang jubin lantai bagi mereka yang kurang berkemahiran dan ia dirakam menerusi video untuk dinilai oleh pihak penganjur.

"Saya tidak sangka boleh mencapai ke tahap ini dan berada pada senarai top 10 bersaing dengan peserta dari beberapa negara termasuk India, Kanada, Brazil, Ghana dan beberapa negara lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.

Alesyah berkata, tersenarai sebagai 10 peserta terbaik pun sudah memadai namun tetap berharap dapat memenangi anugerah berkenaan supaya wang hadiah yang ditawarkan dapat digunakan untuk membantu ahli keluarga serta melabur dalam projek STEM dilaksanakan di sekolahnya.

"Dengan bermodalkan RM500, saya dan rakan-rakan berjaya menghasilkan projek ini dan mampu berada di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi projek ini juga saya menerima beberapa wang hadiah daripada pihak tertentu termasuk anugerah khas sempena Hari Kebangsaan Peringkat Sabah pada Rabu lalu.

"Semua wang yang diterima ini saya gunakan untuk membantu keluarga dan dilaburkan kepada kolej. Begitu juga jika berjaya memenangi anugerah ini nanti saya akan gunakan untuk projek di sekolah," katanya.

Alesyah dalam pada itu memberitahu ibunya seorang suri rumah manakala bapanya meninggal dunia empat tahun lalu.

Sementara itu, dalam kenyataan Chegg.Org memaklumkan Alesyah mengetuai beberapa inisiatif sekolahnya yang memfokus kepada pelajar vokasional dan pelajar berkeperluan khas.

Anugerah ini adalah paling berprestij di dunia dan Alesyah merupakan satu-satunya pelajar dari Malaysia yang berjaya melayakkan diri untuk anugerah ini.