RM1.44 bilion untuk 42 projek jalan, jambatan di Kelantan

Gambar rajah berkaitan Projek Jambatan di Kampung Joh, Machang ke Kampung Belimbing, Tanah Merah.
Gambar rajah berkaitan Projek Jambatan di Kampung Joh, Machang ke Kampung Belimbing, Tanah Merah.
A
A
A

MACHANG - Sebanyak 42 projek di bawah Program Jalan dan Jambatan Luar Bandar (JALB) termasuk menaik taraf jambatan sempit melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM1.44 bilion diluluskan di negeri ini.

Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kelulusan dibuat di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan perlaksanaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Menurut beliau yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, bagi pelaksanaan tahun 2023, sejumlah RM122.95 juta diperuntukkan bagi tiga projek di bawah JALB iaitu Projek Membina Jalan dan Jambatan dari Kampung Joh ke Kampung Belimbing, Projek Membina Jalan dan Jambatan dari Kampung Joh ke Kampung Kuala Sat serta Projek Membina Jalan dari Kampung Joh ke Kampung Mata Ayer, Machang.

“Projek-projek itu akan melengkapkan jaringan jalan alternatif luar bandar melibatkan daerah Kota Bharu, Machang dan Tanah Merah.

“Tiga projek berkenaan juga akan memendekkan tempoh perjalanan sehingga 20 minit dan jarak perjalanan sehingga 15 kilometer antara jajahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke tebing Sungai Kelantan bagi Projek Jambatan di Kampung Joh, Machang ke Kampung Belimbing, Tanah Merah, pada Ahad.

Menurut beliau, kerajaan komited dalam mengurangkan jurang infrastruktur perhubungan jalan luar bandar dan wilayah dalam usaha untuk menoktahkan kemiskinan di Kelantan.

“Pelaksanaan projek JALB akan memberi impak pembangunan, melancarkan aliran trafik dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi serta sosial terutama di Machang sekali gus menafikan naratif bandar mati,” ujarnya.

Sebelum itu, Nik Nazmi juga melawat Projek Pembesaran dan Menaik Taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan Projek Pembinaan Taman Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Labok di sini.