Dimensi baharu landskap politik negara

Kewujudan lebih banyak gabungan parti politik bersaing pada PRU15 bakal membawa dimensi baharu kepada politik negara. - Gambar hiasan
Kewujudan lebih banyak gabungan parti politik bersaing pada PRU15 bakal membawa dimensi baharu kepada politik negara. - Gambar hiasan
A
A
A

SEJAK lebih dua dekad lalu, landskap politik negara didominasi persaingan dua blok gabungan parti terbesar dengan satu pihak mewakili kerajaan, manakala pihak yang lain pula terdiri daripada pembangkang.

Aturan itu mula dilaksanakan sejak Pilihan Raya Umum ke-9 (PRU9) pada 1990 melalui kerjasama dua blok terbesar pembangkang ketika itu - Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat untuk menentang Barisan Nasional (BN).

Namun, ia dilihat konsisten dijadikan sebagai strategi politik, khususnya pembangkang bermula pada 1999.

Secara umumnya, pendekatan mewujudkan gabungan terbesar itu dilaksanakan bagi mengumpulkan kekuatan keseluruhan parti pembangkang untuk membolehkan mereka mengalahkan penguasaan kerajaan BN ketika itu.

Pada PRU10, barisan pembangkang menubuhkan Barisan Alternatif (BA) terdiri daripada Pas, DAP, Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Gabungan tersebut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya memenangi 42 kerusi Parlimen termasuk merampas pentadbiran negeri Terengganu daripada BN melalui parti komponennya, Pas.

Bagaimanapun, BA juga tidak mampu bertahan lebih lama disebabkan perbezaan ideologi politik antara parti komponen. DAP ialah parti pertama bertindak keluar daripada gabungan tersebut pada 2003.

Namun, pendekatan untuk mengumpul kekuatan pembangkang melalui gabungan tunggal itu mula menunjukkan momentum lebih baik selepas kerjasama longgar antara Parti Keadilan Rakyat (PKR - nama baharu pada 2003), Pas dan DAP berjaya menidakkan majoriti dua pertiga BN pada PRU12.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu juga, tiga parti utama pembangkang tersebut bersetuju menubuhkan Pakatan Rakyat, lebih kurang sebulan selepas PRU12.

Prestasi cemerlang Pakatan Rakyat diteruskan pada PRU13 – berjaya memenangi undi majoriti dan seterusnya membentuk kerajaan di Selangor serta Pulau Pinang, manakala Pas pula mengekalkan penguasaan di Kelantan.

Kemuncak kepada kejayaan pendekatan gabungan besar parti politik itu berlaku pada 2018 apabila pembangkang melalui Pakatan Harapan (PH) buat pertama kalinya menewaskan BN dalam PRU14.

Melihat kronologi tersebut, persaingan dua blok parti terbesar sememangnya adalah elemen memungkinkan terjadinya perubahan dalam politik negara. Perkembangan selepas PRU14 berkemungkinan menyebabkan berulangnya persaingan sedemikian.

Dengan pendekatan ‘khemah besar’ kini dianggap sepi dalam kalangan parti pembangkang, PRU15 bakal menyaksikan persaingan lebih daripada dua blok lawan.

Selain BN yang terdiri daripada beberapa parti utama – UMNO, MCA dan MIC, terdapat tiga lagi gabungan besar dijangka bersaing pada PRU akan datang.

Ia terdiri daripada Perikatan Nasional (PN) yang dibarisi antaranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas; PH (PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Satu lagi gabungan baharu ialah Gerakan Tanah Air (GTA) terdiri daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Tentunya ada pihak berpendapat senario itu mungkin memberikan kelebihan kepada BN berikutan perpecahan yang berlaku melibatkan parti pihak pembangkang.

Namun, penulis berpandangan perubahan tersebut sebenarnya kini secara langsung memberikan lebih kuasa kepada pengundi dalam menentukan pilihan terbaik untuk mereka.

Jika sebelum ini pengundi ‘dipaksa’ membuat pilihan antara dua blok parti tetapi kini mereka mempunyai lebih banyak pilihan.

Tidak dinafikan dominasi persaingan dua blok parti berjaya membawa perubahan, tetapi ia dilihat telah memerangkap politik negara dalam isu yang hanya menumpukan kepada soal kekuasaan.

Buktinya, tiga kali kerajaan bertukar selepas PRU14 sehingga menenggelamkan isu lebih penting seperti perbincangan berkaitan pembinaan dasar.

Justeru, kewujudan lebih banyak gabungan parti politik bersaing pada PRU15 bakal membawa dimensi baharu kepada politik negara.

Bagi memastikan mereka menjadi pilihan pengundi, parti politik harus memberikan tawaran lebih baik dan meyakinkan. Nasib mereka di tangan pengundi.

*Muhammad Amnan Hibrahim ialah wartawan Sinar Harian