Dimensi baharu pemain profesional, nilai komersial Liga-M

Ab Ghani (dua dari kanan) dan Safee (dua dari kiri) memperkatakan sesuatu pada majlis menandatangani Perjanjian Kolaborasi antara MFL dan PFAM di Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto: MFL
Ab Ghani (dua dari kanan) dan Safee (dua dari kiri) memperkatakan sesuatu pada majlis menandatangani Perjanjian Kolaborasi antara MFL dan PFAM di Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto: MFL
A
A
A

KARIER pemain bola sepak negara memasuki dimensi baharu menerusi landskap profesional yang lebih sihat, peningkatan nilai komersial dan perlindungan hak yang terjamin buat penggiat sukan nombor satu Malaysia itu.

Matlamat itu direalisasikan menerusi Perjanjian Kolaborasi (Terma Rujukan) antara Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) di Kuala Lumpur pada Selasa.

Perjanjian kolaborasi itu merupakan inisiatif PFAM untuk berkongsi matlamat dan tujuan yang sama dalam melindungi imej dan nilai komersial Liga Malaysia (Liga-M).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM, Izham Ismail menyatakan bahawa pihaknya komited untuk bekerjasama dengan MFL bagi memastikan hak pemain dapat dilindungi di samping mengekalkan integriti dan nilai komersial liga.

“Perjanjian Kolaborasi ini adalah bukti visi dan dedikasi PFAM yang dikongsi untuk membangunkan sektor bola sepak profesional di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Hadir sama Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, Presiden PFAM, Safee Sali dan CEO MFL, Stuart Ramalingam.

Dalam pada itu, Stuart berkata, kerjasama dengan PFAM itu adalah salah satu usaha yang amat penting dalam fokus MFL meningkatkan kualiti liga bola sepak profesional tempatan dalam semua aspek terutama pengurusan kelab dan perkembangan karier pemain.

“MFL percaya kemajuan yang dicapai kelab dan pemain akan memberi refleksi kepada nilai sesebuah liga. Atas sebab itu, MFL telah mengambil langkah besar dan berani sebelum ini dengan melaksanakan proses penswastaan kelab serta melakukan penstrukturan Liga-M.

“Justeru kami melihat langkah proaktif bersama PFAM ini akan mewujudkan proses rangka kerja yang cekap antara kedua-dua pihak melalui proses dan mekanisme yang dipersetujui secara bersama,” katanya.

Sementara itu, Ab Ghani memberitahu bahawa kolaborasi itu akan mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara badan pengelola liga profesional tempatan dan PFAM.

“Saya percaya langkah ini adalah selari dengan misi dan visi MFL dalam proses transformasi Liga-M di mana usaha yang dilakukan MFL bagi meningkatkan daya saing serta nilai komersial liga.

"Malah ia juga bagi memastikan kepentingan kelab dan pemain sentiasa dijaga serta disokong oleh ekosistem bola sepak yang kukuh,” katanya.

Objektif perjanjian kolaborasi itu bertujuan mewujudkan sistem perlindungan hak para pemain bola sepak profesional serta menjaga hak kepentingan kelab bola sepak yang bermain di dalam Liga-M.

Pada masa sama, perkara itu juga selari dengan tuntutan global setelah FIFPRO dan World League Forum (WLF) pada September 2022 telah menandatangani Perjanjian Buruh Global (GLA) di Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Ia bagi mengambil tanggungjawab yang lebih besar sebagai rakan kongsi sosial untuk mengukuhkan penyelesaian yang dipersetujui bersama dalam industri bola sepak.