Bunuh sepupu, mahkamah kekalkan hukuman mati

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Khamis mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi terhadap seorang pencuci kereta kerana membunuh sepupunya lima tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Md Yusof dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, menolak rayuan Iskandar Zulkarnain Zolkifly atas pensabitan kesalahan dan hukuman mati yang telah dijatuhkan terhadapnya.

Zulkarnain, 31, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Oktober 2019, yang menjatuhkan hukuman mati selepas mendapati lelaki itu bersalah membunuh Rabiatul Ain Mohamod, 27, di sebuah rumah di Jalan Temerloh Makmur 3, Taman Temerloh Makmur, Temerloh, Pahang pada 8.30 malam, 21 Oktober 2017.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan pada 29 September tahun lepas, menolak rayuan lelaki tersebut.

Berdasarkan keterangan, Zulkarnain yang tinggal bersama mangsa dan suaminya, telah menikam wanita itu berulang kali.

Dalam rayuannya, beliau mendakwa mangsa membangkitkan kemarahannya kerana mengadu dan menghina kerana tidak pergi bekerja.

Peguam K Viknesvaran mewakili Zulkarnain, manakala Samihah Rhazali bagi pihak pendakwaan.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang bekas penjual kad prabayar, Ng Kah Fai terlepas daripada hukuman mati apabila berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan hukuman mati yang dikenakan ke atasnya kerana membunuh seorang pelanggan yang berhutang RM100,000.

Artikel Berkaitan:

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun ketika membacakan keputusan itu, bagaimanapun meminda pertuduhan membunuh terhadap Kah Fai, 47, itu kepada menyebabkan kematian tanpa niat dan menjatuhi beliau hukuman penjara 20 tahun, bermula tarikh beliau ditangkap iaitu 20 Oktober 2015.

Kah Fai dituduh menikam Cheng Kok Seong, 41, seoranga peniaga menggunakan sebilah pisau di dalam sebuah kereta Toyota Vios yang diletakkan di Jalan SS 15/2A, Subang Jaya, Selangor antara jam 10 malam ke 11.30 malam, pada tahun 2015.

Dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi, Kah Fai tidak menafikan telah menikam mangsa, namun beliau menyatakan perbuatan tersebut bagi mempertahankan dirinya.

Kah Fai telah disabitkan kesalahan membunuh dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 24 Julai 2018.

Rayuan Kah Fai di Mahkamah Rayuan pada 29 Jun 2020 telah ditolak.

Kah Fai diwakili peguam Afifuddin Ahmad Hafifi, Datuk Salehuddin Saidin dan Hafizuddin Salehuddin, manakala Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol bagi pihak pendakwaan. - Bernama