VLN: Pembelaan dakwa kes Ahmad Zahid pendakwaan terpilih

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pembelaan mendakwa 40 pertuduhan menerima suapan membabitkan Visa Luar Negara (VLN) yang dihadapi oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jelas menunjukkan wujud pendakwaan terpilih dan tiada kes prima facie.

Peguam utama bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, mahkamah dan undang-undang di negara ini tidak boleh membiarkan pendakwaan terpilih yang sememangnya bersifat diskriminasi.

"Ia adalah versi pendakwaan bahawa tertuduh menerima wang itu semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri sekali gus mewujudkan hubungan antara wang terbabit dengan pelanjutan kontrak VLN.

"Ia juga versi pendakwaan bahawa tertuduh menerima sumbangan politik tanpa sebarang ikatan,” katanya ketika berhujah di akhir kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid.

Hisyam berkata, pendakwaan juga gagal bertindak secara adil sehingga menyebabkan hak Ahmad Zahid di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan dicabuli.

"Ringkasnya, tertuduh tidak mendapat satu perbicaraan yang adil susulan kegagalan pendakwaan untuk berlaku adil dan penerimaan sumbangan politik tidak menyalahi undang-undang,” katanya.

Peguam itu berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Anifah Aman, Sharil Sufian Hamdan, Tan Sri Chan Kong Choy dan Tan Sri Ong Ka Chuan turut menerima dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) secara langsung atau melalui proksi.

Beliau turut mempersoal tindakan pendakwaan yang tidak memanggil individu terbabit sebagai saksi atau menawarkan mereka kepada pembelaan.

Artikel Berkaitan:

"Mengapa kesemua ahli politik ini tidak didakwa? Mengapa pendakwa raya hanya mendakwa tertuduh sedangkan semuanya adalah dalam keadaan yang serupa iaitu menerima sumbangan politik?

"Mengapa pendakwa raya tidak berlaku adil dan mematuhi Perkara 8 sedangkan peruntukan perlembagaan itu mewakili undang-undang tertinggi negara? Mengapa pendakwa raya tidak menghargai pelbagai kes undang-undang, tempatan mahupun luar negara, berhubung kesaksamaan di sisi undang-undang?” katanya.

Hisyam juga berhujah bahawa tiga saksi utama iaitu bekas Pengarah Pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun serta dua bekas Pengarah UKSB iaitu Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, yang juga saksi pendakwaan ke-15 hingga ke-17, adalah tidak boleh dipercayai, tidak jujur dan sifar kredibiliti.

"Gabungan keterangan ketiga-tiga saksi menyatakan bahawa wang turut dibayar kepada kesemua ahli politik ini. Kesemua ahli politik telah menafikan menerima wang daripada UKSB dan terdapat percanggahan keterangan yang jelas susulan penafian awam itu.

"Mengenai isu sumber dana, bukti yang dikemukakan oleh pendakwaan ialah ia bukan daripada UKSB. Antara geng bertiga itu (Harry Lee, David Tan dan Wan Quoris Shah), terdapat juga percanggahan atau perkara tertinggal yang material,” katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pendakwaan akan memulakan hujahan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa pada Isnin depan. - Bernama