PRU15: Pas diminta segera muktamad pembahagian kerusi, calon

Ahmad Fadhli (tiga dari kanan) menemani Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (tiga dari kiri) yang menyempurnakan pelancaran Kelab Remaja Pas Malaysia pada Muktamar Pemuda Pas ke-63 di sebuah hotel di Alor Setar pada Khamis.
Ahmad Fadhli (tiga dari kanan) menemani Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (tiga dari kiri) yang menyempurnakan pelancaran Kelab Remaja Pas Malaysia pada Muktamar Pemuda Pas ke-63 di sebuah hotel di Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR – Pas diminta memuktamadkan soal pembahagian kerusi dan penentuan calon dengan segera bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, satu panduan yang jelas, segera dan pengarahan taktikal berstrategi perlu diberikan kepada jentera untuk menghadapi pilihan raya ini.

“Biar jelas siapa yang boleh dihadap, siapa yang boleh dibuat kawan. Jangan nanti tabuh berbunyi, baru keris mahu diasap, baru tanjak mahu dicari.

“Gelanggang sudah lama ditari oleh musuh, rentak dan gendang sudah lama beraksi, anak muda kita sedang menunggu arahan pimpinan, sebarang isyarat dan arahan, akan kami junjung atas batu jemala kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Pemuda Pas ke-63 di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Tambah Ahmad Fadhli, muktamar tersebut berkemungkinan merupakan yang terakhir sebelum menghadapi PRU15, justeru, jentera parti belum dipersiapkan segera.

Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan, PRU15 kali ini sangat mengujakan kerana perlaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik (PPSA) telah dikuatkuasakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 15 Disember 2021.

“Keputusan itu menyebabkan peningkatan jumlah pengundi baharu sebanyak 8.5 juta berbanding PRU14,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyifatkan, pengundi baharu terdiri daripada anak-anak muda semestinya akan memberi keputusan yang signifikan dalam menentukan kepemimpinan kerajaan pasca PRU15.

“Berdasarkan kajian persepsi dan tingkah laku anak muda, majoriti anak muda menyedari tanggungjawab mereka sebagai rakyat untuk memastikan pemilihan kepemimpinan baharu kerajaan yang terbaik,” katanya.

Tambah beliau, lebih daripada 85 peratus responden terdiri daripada anak muda sangat teruja untuk mengundi dalam pilihan raya akan datang walaupun hampir sebahagian besar mereka tidak berminat membincangkan isu politik, tetapi mereka adalah pembaca dan pemerhati senyap.

“Walaupun, lebih 40 peratus responden anak muda masih belum menetapkan pendirian politik masing-masing, namun Pemuda Pas perlu berusaha keras mendekati mereka bagi memastikan mereka memperoleh informasi benar dan tepat,” katanya.

Ahmad Fadhli berkata, WhatsApp, Facebook, Instagram, TikTok dan Twitter merupakan lima platform media sosial utama rakyat di Malaysia berdasarkan Laporan Digital 2022, sekali gus ia wajib dikuasai oleh Pemuda Pas untuk menyampaikan dakwah dan naratif positif parti.