Kerajaan Perpaduan ada beberapa formula pembahagian kerusi

Ahmad Zahid ketika bertemu para pengamal media pada Rumah Terbuka Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Dataran Pintu Gerbang Kampung Baru pada Ahad. - Foto Bernama
Ahmad Zahid ketika bertemu para pengamal media pada Rumah Terbuka Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Dataran Pintu Gerbang Kampung Baru pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perpaduan mempunyai beberapa formula yang lebih sesuai dengan situasi semasa bagi tujuan pembahagian kerusi dan perkara itu akan diselesaikan secara dalaman, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana asas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU13 sahaja tidak boleh digunakan sebagai basis untuk memuktamadkan pembahagian kerusi itu.

"Kita di peringkat negeri telah mengadakan perbincangan soal pembahagian kerusi biarpun belum dimuktamadkan, kita yakin komposisi pembahagian itu akan mengikut beberapa kesesuaian daripada kerusi yang telah dimenangi Barisan Nasional (BN) sendiri dan dimenangi parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).

"... kami telah mengambil keputusan perbincangan harus diadakan antara BN dan PH bukan oleh parti-parti yang ada dalam komponen itu, malam ini kami akan mengadakan mesyuarat penyelarasan Kerajaan Perpaduan iaitu 19 parti akan terlibat membincangkan tentang beberapa isu pilihan raya di enam negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Dataran Pintu Gerbang Kampung Baru di sini pada Ahad.

Turut hadir, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Parit Sulong yang juga Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Ayer Hitam yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong serta kira-kira 15,000 pengunjung.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata antara perkara yang akan dibincangkan di mesyuarat itu termasuk kesepakatan mengenai pergerakan jentera dan juga beberapa penyusunan gerak kerja untuk dilaksanakan.

Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH akan mengadakan mesyuarat penyelarasan Kerajaan Perpaduan hari ini dan mendengar persiapan parti-parti menghadapi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. - Bernama