Perkasa jentera, tumpu media sosial tarik undi

Ahmad Fadhli berucap pada Muktamar Tahunan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke-63 bertema ‘Pemuda Generasi Sejahtera’ di sebuah hotel di Alor Setar pada Khamis.
Ahmad Fadhli berucap pada Muktamar Tahunan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke-63 bertema ‘Pemuda Generasi Sejahtera’ di sebuah hotel di Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR – Pemuda Pas diminta memperkasakan Jentera Penerangan Pemuda Pas dengan menumpukan platform media sosial sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pemerkasaan jentera penerangan adalah salah satu daripada lapan pesanan digariskan untuk membina generasi kemenangan.

Beliau menekankan, platform media sosial harus diberikan tumpuan sebagai platform utama penerangan PRU15 dengan memperkasakan semua media sosial Pemuda Pas yang berpotensi menarik undi.

“Pada masa sama, aktiviti penerangan melalui media massa dan lapangan juga perlu digerakkan sebagai persediaan ke arah PRU15 tersebut.

“Antara lain, Pemuda Pas perlu memperkasakan jentera pilihan raya semua peringkat melibatkan negeri, kawasan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga ke peringkat unit daerah mengundi,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika Ucaptama Ketua Pemuda Pas di Muktamar Tahunan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke-63 bertema ‘Pemuda Generasi Sejahtera’ di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Ahmad Fadhli turut berpesan supaya Pemuda Pas memperbanyakkan program pentarbiahan bagi memastikan kekuatan teras amilin diperkukuhkan.

Tambah beliau, antara lain, beliau berpesan kepada pemuda untuk melipat ganda usaha menambah amilin di semua tempat bagi memastikan sasaran 12,000 amilin tercapai.

Artikel Berkaitan:

“Pemuda Pas wajib memberikan wala’ dan taat kepada arahan pimpinan dalam pelaksanaan pengarahan jamaah sebagai tunjang kepada kekuatan Pas,” katanya.

Menurut beliau, Pemuda Pas juga wajib meningkatkan ilmu, keterampilan, nilai dan profesionalisme dalam bidang dan kerjaya masing-masing bagi mempersiapkan diri dalam mengisi kemenangan Pas pada PRU15.

Dalam perkembangan sama, beliau berpesan agar Pemuda Pas mempergiatkan gerak kerja dakwah di lapangan dengan mendekati anak muda secara bersasar terutamanya pengundi atas pagar, undi 18 dan pengundi pertama kali.

“Pemuda Pas perlu ke hadapan dan mewujudkan kolaboratif bersama entiti parti komponen yang lain dalam Taskforce Undi 18 dan Urusan Generasi Milenial.

“Pemuda juga perlu mendekati rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama bagi membawa mesej ’Islam adil untuk semua’,” katanya.

Ahmad Fadhli berkata, Pemuda Pas perlu bertegas dalam isu berkaitan dengan kepentingan umat Islam khususnya yang berpotensi menggugat kedudukan Islam sebagai agama persekutuan di Malaysia.