PRN: BN tidak tergesa-gesa soal pembahagian kerusi

Ahmad Zahid (tengah) hadir dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pahang di Sungai Koyan, Lipis pada Isnin.
Ahmad Zahid (tengah) hadir dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pahang di Sungai Koyan, Lipis pada Isnin.
A
A
A

LIPIS - Barisan Nasional (BN) tidak tergesa-gesa dalam soal pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan proses pembahagian kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) lebih baik berbanding parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

"Soal yang kami utamakan ialah bagaimana pembahagian kerusi itu dilaksanakan bukan sahaja dibuat atas rasa konsensus tetapi tentang kebolehmenangan.

"Maka apa yang dilakukan oleh parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah dengan mengadakan perbincangan di antara BN dan PH terlebih dahulu.

"Apabila perbincangan di peringkat negeri dimuktamadkan maka ia dibawa ke peringkat nasional di mana pengerusi gabungan pada parti-parti komponen BN dan PH akan meneliti untuk muktamadkan selepas perundingan dengan presiden-presiden parti komponen dalam BN dan juga PH," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Presiden UMNO ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pahang di Laman Sejahtera Sungai Koyan di sini yang dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung.

Ahmad Zahid (empat dari kiri,duduk) bersama Wan Rosdy (tiga dari kiri,duduk) bersama Barisan Badan Perhubungan UMNO Pahang
Ahmad Zahid (empat dari kiri,duduk) bersama Wan Rosdy (tiga dari kiri,duduk) bersama Barisan Badan Perhubungan UMNO Pahang

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang dan pemimpin peringkat nasional serta negeri.

Ahmad Zahid berkata, gabungan itu tidak akan buat keputusan tergopoh-gapah kerana perlu mengambil kira pelbagai aspek bukan sahaja soal kemenangan tetapi penerimaan dan liabiliti oleh seorang calon yang sesuai dengan citarasa pengundi di kawasan berkenaan.

"Lagipun kita ada masa yang panjang, mungkin sampai Julai atau awal Ogos untuk kita hadapi kempen PRN secara rasmi.

"Maka kita tidak perlu tergopoh-gapah untuk elakkan sebarang pertembungan atau permasalahan apabila calon-calon yang dipilih itu tidak dapat memberikan kemenangan dalam PRN," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan agar tidak boleh mengambil ringan cabaran menghadapi PRN terutamanya di Selangor.

Antara sebahagian orang ramai yang menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pahang di Laman Sejahtera Sungai Koyan pada Isnin.
Antara sebahagian orang ramai yang menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pahang di Laman Sejahtera Sungai Koyan pada Isnin.

"Jangan pernah ambil ringan, bukan sahaja di Selangor tetapi di enam negeri yang akan menghadapi PRN ini, tetapi kami mempunyai keyakinan penuh kombinasi parti dalam Kerajaan Perpaduan yang menggerakkan jentera secara selaras dengan memberikan penerangan kepada bakal pengundi, maka Insya-ALLAH undian akan memihak kepada kami," kata beliau.

Sebelum itu, Ahmad Zahid melakukan lawatan kerja di Klinik Kesihatan Pos Betau dan Pusat Tenun Diraja di pos sama.