25 ditahan dalam Ops Ambang Merdeka di Johor

Seramai 25 individu terdiri daripada 21 lelaki dan empat wanita warga tempatan ditahan atas pelbagai kesalahan menerusi Op Ambang Merdeka Kontinjen Johor.
Seramai 25 individu terdiri daripada 21 lelaki dan empat wanita warga tempatan ditahan atas pelbagai kesalahan menerusi Op Ambang Merdeka Kontinjen Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 25 individu terdiri daripada 21 lelaki dan empat wanita warga tempatan ditahan atas pelbagai kesalahan menerusi Op Ambang Merdeka Kontinjen Johor yang dijalankan selama 24 jam di seluruh negeri.

Operasi yang bermula jam 8 pagi Selasa hingga 8 pagi Rabu itu melibatkan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kontinjen Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang ditahan itu berusia 23 hingga 52 tahun termasuk seorang lelaki berusia 30-an yang dikehendaki polis.

"Daripada jumlah tersebut seramai tujuh lelaki didapati positif dadah. Secara keseluruhan menerusi operasi ini pihak polis melakukan pemeriksaan di 31 premis termasuk 19 pusat hiburan.

"Seramai 679 individu telah diperiksa melibatkan pecahan 539 lelaki dan 140 wanita tempatan di seluruh negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Beliau berkata, sembilan suspek disiasat di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor (ENJ); empat disiasat di bawah Seksyen 11(2) ENJ dan dua suspek di bawah Seksyen 45 Akta Pertubuhan 1966.

Serbuan dilakukan polis di sebuah premis hiburan dalam Op Ambang Merdeka Kontinjen Johor yang diadakan seluruh negeri dari 8 pagi Selasa hingga 8 pagi Rabu.
Serbuan dilakukan polis di sebuah premis hiburan dalam Op Ambang Merdeka Kontinjen Johor yang diadakan seluruh negeri dari 8 pagi Selasa hingga 8 pagi Rabu.

Selain itu katanya, tujuh disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala tiga individu masing-masing disiasat di bawah Seksyen 15(1) ADB 1952; Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Katanya, dalam serbuan tersebut pihak polis merampas antaranya 20 helai resit perniagaan, sebuah komputer riba, lapan mikrofon, sebuah televisyen, enam pembesar suara; satu mixer dan wang tunai RM100.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, polis Johor memberi amaran terhadap orang ramai agar tidak melanggar undang-undang dan mereka akan dikenakan tindakan tegas jika ingkar.