Rompak pelantar minyak: Empat warga tempatan ditahan

Empat lelaki tempatan ditahan Maritim Malaysia ketika sedang merompak kabel di bawah pelantar minyak di perairan Tanjung Langsat pada Selasa.
Empat lelaki tempatan ditahan Maritim Malaysia ketika sedang merompak kabel di bawah pelantar minyak di perairan Tanjung Langsat pada Selasa.
A
A
A

KOTA TINGGI - Empat lelaki termasuk dua beradik warga tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika melakukan rompakan di pelantar minyak di kedudukan 0.7 batu nautika, timur laut Jeti Tanjung Langsat pada Selasa.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, kesemua suspek berusia 27 hingga 47 tahun itu menggunakan bot gentian kaca untuk mencuri kabel logam di bawah pelantar Aurora Producer 1, pada jam 12.30 tengah malam.

Ujarnya, sebuah bot Maritim Malaysia diarahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima aduan mengenai insiden rompakan itu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota menemui sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran bersama empat lelaki sedang menarik kabel di bawah pelantar minyak yang sedang dibaik pulih.

Bot gentian kaca yang dinaiki empat lelaki tempatan ketika merompak sebuah pelantar minyak cuba ditenggelamkan selepas menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia.
Bot gentian kaca yang dinaiki empat lelaki tempatan ketika merompak sebuah pelantar minyak cuba ditenggelamkan selepas menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia.

"Empat lelaki tersebut kemudiannya bertindak cuba menenggelamkan bot gentian kaca sebaik yang digunakan sebelum mereka terjun ke dalam laut, namun berjaya diselamatkan dan ditahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Tanjung Sedili pada Rabu.

Saiful Lizan ( tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Tanjung Sedili pada Rabu.
Saiful Lizan ( tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Tanjung Sedili pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa.

Menurut Saiful Lizan, hasil pemeriksaan yang dilakukan di atas pelantar tersebut menemui dua kru warga tempatan berusia 24 dan 32 tahun yang menjadi mangsa rompakan.

"Mangsa menyatakan ketika kejadian pelantar berkenaan dinaiki tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang. Suspek menyerang, mengikat kaki, tangan dan mulut mangsa sebelum dikurung dalam sebuah kabin di atas pelantar.

"Mangsa terkurung selama dua jam sebelum berjaya melepaskan ikatan dan bersembunyi bagi menunggu ketibaan pihak berkuasa," katanya.

Tambahnya, kesemua suspek yang turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan pemilikan senjata dan dadah itu direman selama lima hari bermula Rabu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 391 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan berkumpulan.

"Selain kabel, suspek turut mencuri dua buah telefon bimbit milik mangsa. Jumlah kerugian masih dalam siasatan. Kami percaya kabel terbabit mempunyai nilai yang cukup tinggi di pasaran tempatan," katanya.

Saiful Lizan menunjukkan peta lokasi kejadian rompakan di perairan Tanjung Langsat.
Saiful Lizan menunjukkan peta lokasi kejadian rompakan di perairan Tanjung Langsat.

Menurut beliau, kejadian tersebut merupakan rompakan laut pertama membabitkan warga tempatan.

"Ini adalah kes berprofil tinggi kerana sebelum ini kes rompakan laut banyak membabitkan warga asing," katanya.