Semangat merdeka jangan hanya bermusim

Mohd Mursyid Arshad
Mohd Mursyid Arshad
A
A
A

SHAH ALAM - Semangat kemerdekaan dan cinta akan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia tidak boleh hanya bermusim, kata Pensyarah Pembangunan Belia Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Mursyid Arshad.

Menurut beliau, sebaliknya jadikan rasa sayang kepada negara itu sebagai falsafah hidup yang perlu bermula di setiap peringkat kehidupan dan diterapkan secara berterusan.

“Kita tidak mahu sebutan merdeka hanya bermusim pada Ogos (Hari Kebangsaan) mahupun September (Hari Malaysia).

“Malah ia sebenarnya adalah satu falsafah hidup untuk kita menyumbang yang terbaik demi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-363 yang bertajuk "Merdeka Bukan Hanya Slogan" yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, Peguam, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos manakala Nani Roslan selaku moderator.

Mohd Mursyid berkata, banyak stigma yang beranggapan belia di Malaysia lesu, tidak berminat dengan agenda negara dan tidak mengikuti perkembangan semasa.

Sedangkan jelasnya, golongan tersebut berkemungkinan cuba menzahirkan semangat sayang kepada negara dalam konteks yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan tinjaun yang dilakukan, kita mendapati semangat golongan muda pada hari ini mahukan kerajaan yang bersih dan betul-betul menjaga kredibiliti.

“Dari segi penzahiran tersebut, mereka merasakan elok mereka berjuang dengan cara mereka, bekerja bersungguh-sungguh, melakukan produktiviti dan kita bebas rasuah.

“Ini sebenarnya mesej yang disampaikan oleh golongan muda. Mereka nak supaya cara penzahiran patriotisme tersebut diolah dalam konteks demikian.

“Jadi, kita tidak boleh mengatakan golongan belia ini semata-mata tidak ambil peduli tentang rakyat dan negara,” ujar beliau.