Konflik Sudan: 30 rakyat Malaysia selamat tiba di KLIA

Zamby ketika dalam sidang media di KLIA pada Jumaat.
Zamby ketika dalam sidang media di KLIA pada Jumaat.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] 30 rakyat Malaysia yang terperangkap dalam konflik di Sudan telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari ini jam 4.15 petang.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, operasi tersebut turut terlibat dalam usaha menyelamatkan tiga lagi rakyat daripada negara lain termasuk Palestin, Filipina dan Thailand.

"Ops Sudan secara dasarnya sudah selesai cuma kita masih terus mengikuti perkembangan ini kerana berdasarkan kepada jumlah rakyat Malaysia yang telah berdaftar dengan kita, itu adalah bilangannya.

"Sekiranya ada lagi bilangan rakyat Malaysia (di Sudan) yang belum mendaftar, jadi kita harap dari masa ke semasa mereka akan dapat menghubungi kita untuk kita lakukan usaha seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.

Pada Khamis, Zambry berkata, 30 rakyat Malaysia yang diselamatkan dari Khartoum, dijadualkan pulang hari ini.

Dalam pada itu, menurut beliau, kerajaan akan menutup kedutaan Malaysia di Sudan buat sementara waktu susulan konflik di negara berkenaan.

"Buat sementara ini, kita akan menutup (kedutaan) dan urusan kedutaan kita akan dikendalikan daripada Kaherah, Mesir," ujarnya.

Sementara itu, ulas Zambry, rakyat Malaysia yang ada perancangan untuk pergi ke Sudan, dinasihatkan supaya tangguhkan dahulu perjalanan tersebut.

"Seperti yang kita sedia maklum mengenai keadaan Sudan pada hari ini, oleh yang demikian kita ingin menasihatkan rakyat Malaysia yang ada perancangan untuk melawat Sudan hendaklah tangguhkan perjalanan itu sehingga keadaan kembali pulih.

"Kedua, sekiranya ada mana-mana rakyat Malaysia (menetap di Sudan) yang tidak memaklumkan kepada kita dan keluarga mereka berada di sini, sila maklumkan kepada pihak Wisma Putra supaya kita dapat membantu dalam mencari di mana mereka.

"Insya-ALLAH kita sentiasa memberikan bantuan ini kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara," jelasnya.