Ahmad Zahid selesai bela diri, 40 saksi lagi akan dipanggil

Ahmad Zahid (kiri) hadir di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Ahmad Zahid (kiri) hadir di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas 17 hari prosiding pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi berlangsung, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selesai membela diri di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan kes jenayah itu, dipanggil menjadi saksi pembelaan pertama dan memberi keterangan secara bersumpah di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bermula 13 April lalu.

Prosiding ini akan bersambung 20 hari lagi, iaitu pada 19-22, 26-29 September, 17-20, 31 Oktober dan 1-3, 7-10 November.

Ketika perbicaraan, peguam, Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid berkata, pembelaan bersedia dengan pernyataan saksi untuk prosiding yang dijadualkan 19 September depan.

Hamidi: Selain itu, seramai 40 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Sequerah: Perlukah memanggil 40 saksi lagi?

Hamidi: Ya Yang Arif, walaupun bilanggannya mencecah 40 orang, tetapi keterangan mereka tidak akan mengambil masa yang lama malah kami akan ikut jadual perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran mencadangkan agar 20 sahaja saksi dipanggil untuk prosiding tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini 43 saksi dikatakan akan dipanggil, sekarang turun kepada 40, namun ia masih dikira ramai.

“Jadi saya cadangkan mahkamah dapat menetapkan tarikh tambahan untuk prosiding akan datang,” katanya.

Pada 24 Januari lalu, Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid Hamidi membela diri atas 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 untuk pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Ahmad Zahid (kiri) hadir dalam prosiding pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Ahmad Zahid (kiri) hadir dalam prosiding pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Perbicaraan bermula pada 18 November 2019.

Pada 19 Mac 2021, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi termasuk bekas pegawai khas Ahmad Zahid, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar; rakan kongsi firma guaman Lewis & Co, B. Muralidharan; pengurup wang, Omar Ali Abdullah dan bekas setiausaha eksekutif Ahmad Zahid, Mejar azlina Mazlan @ Ramly.

Bagi pertuduhan CBT, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zahid juga didakwa dengan lapan pertuduhan menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018. Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Ahmad Zahid juga berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.