Polis Selangor siap siaga hadapi PRU

Arjunaidi
Arjunaidi
A
A
A

HULU SELANGOR - Polis Selangor menguji dan menambah baik sistem komunikasi sedia ada sebagai sebahagian persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang mungkin diumumkan pada bila-bila masa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya telah membuat persiapan rapi dan telah menjalankan latihan dalam perkhidmatan membabitkan pegawai serta anggota yang akan bertugas sepanjang tempoh PRU nanti.

"Untuk PRU akan datang memang kita telah bersedia untuk hadapi dan telah membuat persedian rapi, kita sedia maklum dalam setiap PRU semua formasi kontinjen dan semua daerah akan terlibat.

"Kita juga telah mengemaskini peralatan komunikasi sedia ada kerana sistem komunikasi itu amat penting dalam tugas menghadapi PRU," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan upacara serah terima tugas antara Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah menggantikan Asisten Komisioner Arsad Kamaruddin yang dilantik sebagai Penolong Pengarah Perjawatan (PRP dan Kons) Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Dalam pada itu Arjunaidi berkata, pihaknya turut menaik taraf bilik gerakan di kontinjen dan semua IPD untuk memastikan penugasan semasa PRU dilaksanakan dengan lancar.

Mengulas mengenai bila tarikh sebenar PRU, Arjunaidi berkata, buat masa ini pihaknya masih menunggu insyarat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bersedia untuk menggerakan anggota pada bila-bila masa.

"Kita sekarang menunggu 'signal' dan maklumat lanjut dari SPR tentang PRU dari segi bilangan pusat mengundi dan sebagainya mungkin ada perubahan.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang perkembangan terbaru kita akan pantau dari semasa ke semasa, bila PRU itu hanya Perdana Menteri yang tahu," jelasnya.