Pelaksanaan waktu kerja 45 jam ditangguh tahun depan

Saravanan pada sidang media berhubung kenyataan mengenai Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 di Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) pada Jumaat. - Foto Bernama
Saravanan pada sidang media berhubung kenyataan mengenai Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 di Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang dijadualkan bermula pada 1 September ini ditangguhkan ke 1 Januari tahun depan.

Antara pindaan itu ialah pengurangan tempoh waktu bekerja daripada 48 jam ke 45 jam seminggu, penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari dan cuti paterniti dinaikkan daripada tiga hari kepada tujuh hari.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, penangguhan itu telah diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat selepas pihak industri dan majikan sebulat suara memohon penangguhan atas beberapa faktor.

Beliau berkata, libat urus bersama pemegang taruh yang berkaitan mendapati pemain industri khususnya majikan memerlukan sedikit masa sebelum pindaan itu dikuatkuasakan dengan mengambil kira isu kekurangan pekerja asing dan pemulihan syarikat pasca Covid-19.

"Selepas mendengar pandangan semua pihak, kerajaan membuat kesimpulan bahawa kami perlu memberi tempoh tiga bulan lagi untuk pemulihan ekonomi. Jika tidak, saya hanya bimbang jika industri terjejas, ramai akan kehilangan pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu kementerian mengambil berat tentang kepentingan pekerja. Ini (penangguhan) untuk menjaga kepentingan mereka," katanya pada sidang media khas di sini, pada Jumaat.

Saravanan berkata, isu kekurangan pekerja asing timbul susulan negara menyekat kemasukan mereka sejak hampir tiga tahun lepas berikutan penularan Covid-19 yang menyebabkan masalah kekurangan tenaga kerja dalam industri.

Katanya, walaupun negara telah membenarkan semula pekerja asing untuk masuk ke Malaysia, proses untuk memenuhi keperluan industri akan mengambil masa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penangguhan itu adalah terakhir dan akan tetap dilaksanakan bermula 1 Jan depan tanpa mengira sebarang alasan oleh majikan.

Pindaan kepada Akta Kerja 1955 telah diluluskan di Palimen pada Mac lepas dan Saravanan sebelum ini dilaporkan berkata ia akan mula dikuat kuasakan pada 1 September ini. - Bernama