Tiada minuman berasaskan ketum, ganja diseludup dari Thailand

Surina
Surina
A
A
A

KANGAR - Tiada minuman berasaskan ketum atau ganja diseludup masuk menerusi sempadan negara selepas Thailand membenarkan penduduknya menanam tumbuhan itu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, sehingga kini tiada tangkapan membabitkan individu atau pelancong yang membawa masuk minuman berkenaan ke negara ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan juga mendapati tiada individu mahupun premis jualan yang cuba menjual secara haram minuman terbabit di sekitar negeri ini.

“Kita sentiasa memperketatkan kawalan di sempadan Thailand-Perlis bagi memastikan aktiviti penyeludupan ganja tidak berlaku selepas kerajaan Thailand membenarkan rakyatnya menanam tumbuhan itu di rumah bermula 9 Jun lalu.

“Sekiranya rakyat Malaysia yang memasuki negara jiran itu dan didapati positif dadah atau membawa masuk ganja dalam pelbagai bentuk, individu berkenaan akan dikenakan tindakan bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Selepas negara gajah putih itu ‘menghalalkan’ ganja dan ketum, timbul kebimbangan rakyat dari negara ini mengambil kesempatan berkunjung ke Thailand semata-mata untuk menghisap ganja dan minum air kanabis sambil melancong.

Difahamkan, pokok ganja dijual secara terbuka di tepi-tepi jalan negara terbabit pada harga yang murah antara RM2.50 hingga RM12 sepokok manakala minuman berasaskan ganja seperti air kanabis mudah didapati di kedai serbaneka pada harga RM3 sebotol.

Dalam pada itu, Surina memberitahu, hasil pemerhatian yang dilakukan pihaknya mendapati harga pasaran ketum telah menurun sehingga RM30 hingga RM40 sekilogram berbanding sebelum ini dijual sekitar RM80 hingga RM100 sekilogram.

Artikel Berkaitan:

“Penurunan harga berlaku disebabkan Thailand telah menjadikan ketum sebagai tumbuhan yang sah menyebabkan permintaan semakin berkurangan ke negara itu.

“Rampasan dan tangkapan kes membabitkan penyeludupan ketum juga menurun antara 50 hingga 60 peratus, susulan kawalan di sempadan diperketatkan selain rondaan berterusan dengan bantuan unit udara, berkuda, dron serta bantuan teknikal lain,” katanya lagi.

Sebaliknya, tegas Surina, rampasan dan tangkapan kes membabitkan ganja pula didapati meningkat di Perlis.

“Kes ganja dikesan meningkat disebabkan penawaran tinggi dari Thailand ke negara ini selepas Thailand menghalalkan tumbuhan itu. Tambahan pula, harganya hampir separuh daripada harga sekilogram di Malaysia iaitu RM1,000/kilogram,” ujarnya.

Bermula 9 Jun lalu, kerajaan Thailand membenarkan penduduknya menanam pokok ganja di rumah untuk kegunaan sendiri sebagai bahan makanan, minuman atau dihisap.