AJK masjid, surau pantau ajaran sesat di Selangor

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Ahmad Shahir Makhtar (dua, kiri) menerima laporan hasil penyelidikan bagi tahun 2021 daripada salah seorang penyelidik (kanan) di Majlis Penyerahan Perjanjian Penyelidikan Tahun 2022 dan Serahan Laporan Hasil Penyelidikan Tahun 2021 di Dewan Anggerik, Hotel De Palma, Seksyen 19, pada Jumaat.
Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Ahmad Shahir Makhtar (dua, kiri) menerima laporan hasil penyelidikan bagi tahun 2021 daripada salah seorang penyelidik (kanan) di Majlis Penyerahan Perjanjian Penyelidikan Tahun 2022 dan Serahan Laporan Hasil Penyelidikan Tahun 2021 di Dewan Anggerik, Hotel De Palma, Seksyen 19, pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di Selangor diminta membantu pihak berkuasa agama memantau ajaran sesat dilaporkan berkembang di negeri itu.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, setiap kariah perlu sentiasa membuat pantauan terutama jika terdapat aktiviti mencurigakan.

"Misalnya, AJK masjid perlu membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) jika ada kuliah yang disampaikan oleh bukan penerima tauliah mengajar di masjid.

"Perkara ini bagi mengelakkan kuliah disampaikan terpesong daripada ajaran Islam sekali gus menyebabkan individu Islam terjebak ajaran sesat," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Perjanjian Penyelidikan Tahun 2022 dan Serahan Laporan Hasil Penyelidikan Tahun 2021 di Dewan Anggerik, Hotel De Palma, Seksyen 19, pada Jumaat.

Tambah Ahmad Shahir, MAIS sentiasa mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berhati-hati dan waspada berikutan terdapat pelbagai ajaran sesat baharu yang dikesan aktif di Selangor.

Ujar beliau, kebanyakan pengikut terdedah kepada aktiviti ajaran songsang yang dipelajari di media sosial.

"Umat Islam mesti kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah selain perlu merujuk kepada JAIS jika tidak pasti mengenai isi kandungan ceramah disampaikan," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kurang pengetahuan agama menjadi faktor umat Islam mudah terjebak ajaran sesat.

Artikel Berkaitan:

"JAIS akan terus membuat pemantauan melalui bahagian penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti berkaitan agama yang mencurigakan.

"Selangor antara tempat tumpuan ajaran sesat berikutan penduduknya ramai," katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, JAIS memperincikan laporan berkaitan ajaran sesat Hadi Minallah yang didakwa dikesan di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai dakwaan kewujudan ajaran sesat itu di negeri tersebut.