Usah terjebak ajaran sesat di media sosial

Tangkap layar video majlis perhimpunan yang dianjurkan kumpulan ajaran Hadi Minallah di Langkawi pada Jun lalu.
Tangkap layar video majlis perhimpunan yang dianjurkan kumpulan ajaran Hadi Minallah di Langkawi pada Jun lalu.
A
A
A

MERAK Jalanan berasa musykil dengan sikap segelintir umat Islam di negara ini yang mudah terpengaruh dengan ajaran menyimpang daripada landasan kebenaran.

Boleh dikatakan setiap kali ada ajaran baharu, maka akan ada pengikut yang menyokong malah menjadi taasub.

Walaupun ajaran berkenaan menjalankan beberapa ritual yang pelik dan mencurigakan, pasti ada pengikut yang terpedaya malah turut melibatkan golongan yang berpendidikan.

Contohnya ajaran yang pernah dilaporkan sesat sebelum ini seperti Ayah Pin, Millah Abraham, ajaran Matahari, Hassan Anak Rimau dan macam-macam lagi.

Maka tidak hairanlah Malaysia sering menjadi sasaran ajaran sesat dari negara luar untuk bertapak memandangkan orang kita amat mudah terpengaruh.

Terkini ajaran sesat Hadi Minallah yang berasal dari Indonesia dikesan berlaku di beberapa negeri di Malaysia dan aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui YouTube.

Berdasarkan video ajaran kumpulan itu, pengasasnya, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minallah Aminnullah Ahmad mengaku tiada agama dan menyebarkan fahaman makrifat sesat, Nur Muhammad serta pluralisme agama yang dakwanya Tuhan tidak melihat kepada agama selain turut menolak hadis.

Oleh itu, Merak Jalanan berpandangan antara jalan terbaik bagi menghindarkan diri daripada terjebak dengan ajaran sesat ialah selalu mendekatkan diri dengan masjid dan surau di kawasan kediaman masing-masing.

Ini kerana setiap pengajian, ceramah agama dan kuliah di masjid dan surau sentiasa dipantau agar kandungan pengajarannya mematuhi ketetapan yang digariskan jabatan agama Islam negeri masing-masing.

Elakkan menuntut dalam bidang agama secara sendirian melalui saluran media sosial kerana guru-guru palsu dan ajaran sesat banyak bertapak di platform berkenaan.